Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Ketua Pegawai Eksekutif Apple yang bakal letak jawatan, Tim Cook, memberi amaran bahawa permintaan tinggi terhadap cip memori susulan ledakan kecerdasan buatan (AI) akan memaksa gergasi teknologi itu menaikkan harga produknya, lapor AFP.
Menurut AFP, perkara itu telah dimaklumkan dalam satu wawancara dengan Wall Street Journal yang diterbitkan pada Rabu.
Cook berkata kenaikan harga tersebut memang tidak dapat dielakkan walaupun syarikatnya telah mencuba melindungi pelanggan daripada kenaikan itu.

"Malangnya, kenaikan harga tidak dapat dielakkan. Kami telah cuba melindungi pelanggan, namun keadaan itu menyebabkan ia tidak mampan," katanya.
Beliau bagaimanapun tidak memperincikan bila kenaikan harga akan dilaksanakan, jumlah kenaikan atau peranti mana yang akan terjejas.
“Terdapat kekurangan bekalan ketika pengguna mahukan peranti dan pengeluar memori pula mengenakan kenaikan harga yang sangat besar kepada pelanggan,” kata Cook.
Laporan Wall Street Journal memetik anggaran firma penyelidikan TechInsights yang menyatakan Apple perlu menaikkan harga model iPhone Pro sebanyak AS$270 bagi mengekalkan margin keuntungan semasa.
Pembangunan pesat pusat data AI telah menyebabkan kos cip memori dan RAM melonjak tinggi.

Komponen tersebut digunakan dalam hampir semua peranti elektronik, dengan harga cip dilaporkan meningkat sekurang-kurangnya 50 peratus setiap suku tahun sejak penghujung 2025.
Cook, yang mempunyai pengalaman luas dalam rantaian bekalan elektronik, berkata beliau tidak pernah menyaksikan lonjakan harga sedemikian dan menyifatkannya sebagai 'banjir yang berlaku sekali dalam seratus tahun'.
Sementara itu, pelancaran utama Apple seterusnya dijangka berlangsung pada September menerusi siri iPhone 18.