Siakap Keli

Selalu Murung? Jawab Ujian DASS Ini Dan Ketahui Tahap Kesihatan Mental Anda

Anda tentu pernah mendengar atau terbaca laporan mengenai masalah mental, sama ada yang berlaku di Malaysia ataupun di luar negara. Selalunya, apabila disebut masalah mental, ia seringkali dikaitkan dengan perbuatan jenayah seperti tindakan di luar batas antaranya membunuh ahli keluarga sendiri akibat terdengar bisikan halus di dalam minda.

Ada juga kes-kes membabitkan masalah mental seperti kemurungan di mana pesakitnya yang mungkin berada dalam tekanan melampau, bertindak mencabut nyawa sendiri sebagai jalan penyelesaian. Malah, boleh dikatakan ia perkara biasa di luar negara terutamanya membabitkan seleberiti terkemuka dunia. Antaranya adalah pengacara rancangan pengembaraan popular, Part Unknown iaitu Anthony Bourdain dan vokalis kumpulan Linkin Park, Chester Bennington.

Apakah Itu Masalah Mental?

Menurut portal Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Malaysia, penyakit mental adalah ”penyakit yang melibatkan gangguan pada fungsi otak yang boleh menyebabkan perubahan kepada proses pemikiran, perasaan dan tingkah laku seseorang yang mengakibatkan gangguan untuk menjalani aktiviti seharian dengan baik”.

Malah JPA turut memetik laporan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dimana penyakit mental disenaraikan antara 5 penyakit utama dunia yang boleh menyebabkan kehilangan upaya dengan jangkaan menjelang 2020, penyakit mental bakal menjadi kedua tertinggi.

Tanda-Tanda Kecelaruan Mental

1. Bertentangan daripada kebiasaan

Individu yang mengalami masalah kecelaruan mental gemar menyebut atau memberitahu sesuatu yang tidak berlaku akibat halunisasi dan delusi.

2. Tingkah-laku bertentangan dengan masyarakat

Orang yang mempunyai kecelaruan mental cenderung untuk bertindak di luar budaya dan adat yang biasa diamalkannya.

3. Persepsi atau Interpretasi Realiti

Selain mengalami kesedihan, mereka cenderung untuk menafikan atau menolak realiti sebenar yang berlaku.

4. Salah adaptasi

Tingkah laku yang membataskan kefungsian, peranan dan tingkahlaku yang menyebabkan kesedihan dan ketakutan serta takut berada di tempat yang ramai orang seperti pasaraya dan majlis keramaian.

5. Kesusahan peribadi

Kerap mengalami masalah kebimbangan, ketakutan dan kemurungan hingga mengganggu individu untuk berfungsi secara normal.

6. Tingkah laku berbahaya

Selain boleh mengancam diri sendiri seperti cubaan bunuh diri, orang yang mengalami masalah mental turut memberi ancaman terhadap nyawa orang sekeliling.

Keputusan Ujian Dibuat Penulis

Jalani Ujian DASS

Ujian DASS atau Deppression Anxiety Stress Scale adalah ujian saringan masalah mental yang digunakan di seluruh dunia. Di Malaysia, ujian DASS berpandukan kepada 21 soalan ini diterjemah dan dibangunkan oleh seorang ahli akademik tanah air, iaitu Profesor Dr. Ramli Musa yang merupakan seorang pensyarah dan Ketua Bahagian Rundingan Psikatri di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM).

Menurut Prof. Ramli, ujian DASS ini diterjemah kepada lebih 45 bahasa yang digunakan sebagai saringan, namun begitu anda dinasihatkan untuk berjumpa dengan pakar perubatan sekiranya keputusan ujian tersebut menunjukkan anda mempunyai masalah kesihatan mental.

Ujian ini memerlukan anda untuk berkongsi beberapa maklumat peribadi seperti umur, tahap pendidikan dan jenis pekerjaan anda. Kemudian anda perlu menjawab kesemua 21 soalan dengan jujur supaya keputusan yang anda perolehi lebih tepat.

Keputusan ujian DASS ini berdasarkan tiga bahagian iaitu Kemurungan, Keresahan dan Stress di mana skala keputusan adalah Normal (Normal), Mild (Ringan), Moderate (Sederhana), Severe (Teruk) dan Extremely Severe (Sangat Teruk).

Jadi jom jalani ujian DASS ini di laman web Ramli Musa.

Sumber : Jabatan Perkhidmatan Awam, Prof. Ramli Musa

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.