Siakap Keli

Tular Memo Kementerian Pendidikan Arah Sekolah Henti Melanggan Utusan Malaysia

Kementerian Pendidikan Malaysia sebelum ini dilaporkan telah mengeluarkan arahan agar semua sekolah dan agensi-agensi di bawah pentadbirannya menghentikan langganan surat khabar Utusan Malaysia berkuat kuasa serta-merta.

Memo tersebut dikeluarkan melalui Wan Saiful Wan Jan, merangkap penasihat khas kepada Menteri Pendidikan, Dr. Mazlee Malik, mengikut laporan sebuah portal berita tempatan.

Melalui memo yang tular di media sosial tersebut, memo bertarikh 18 Julai lalu itu dikeluarkan kepada Dato’ Dr. Mohd Gazali Abas, Ketua Setiausaha, Kementerian Pendidikan Malaysia.

”Untuk makluman Yang Berbahagia Dato’ pihak Yang Berhormat Menteri (YBM) memohon agar langganan surat khabar Utusan Malaysia bagi semua bahagian, agensi, sekolah, universiti, kolej dan semua institusi di dalam Kementerian Pendidikan Malaysia di batalkan serta merta,” memetik kenyataan dalam memo yang tular itu.

Menurut laporan portal berita tersebut lagi, seorang sumber daripada Kementerian Pendidikan mengesahkan kesahihan sumber tersebut. Malah katanya, kementerian ketika ini turut mempertimbangkan untuk melaksanakan keputusan yang sama terhadap langganan-langganan akhbar lain atas alasan untuk menjimatkan perbelanjaan.

Utusan Malaysia adalah sebuah akhbar berbahasa Melayu yang dikaitkan dengan UMNO, iaitu parti teras dalam Barisan Nasional yang membentuk kerajaan terdahulu.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.