Siakap Keli

Kuat Merajuk, Berpura Baik & Salahkan Orang Lain Merupakan Gangguan Personaliti

Bayangkan satu hari, matahari tidak terlalu panas namun tidak pula mendung. Burung-burung berkicauan sambil sepoi-sepoi angin bertiup lembut. Anda berasa sangat tenang dan optimis.

Pop!

Tiba-tiba sesuatu muncul di benak fikiran anda. Terimbas kembali pertemuan lalu dengan teman lelaki anda sewaktu makan malam bersama. Terhidu bau minyak wangi yang diyakini 100% bukan milik anda di baju si teman lelaki. Anda berasa ragu walaupun sudah dijelaskan bahawa rakan sekerja perempuan disebelahnya menyembur minyak wangi sewaktu mesyuarat dan terkena sedikit kepadanya.

Anda mula berfikir, betulkah? Atau dia curang? Kalau betul pun rakan sekerja, perlukah dia duduk sebelah rakan perempuan dalam mesyuarat? Tidak boleh ke duduk di sebelah rakan lelaki? Nah. Minda anda mula bersoal jawab.

Namun tahu bahawa si lelaki sememangnya jujur kerana kalian berdua sudah lama mengenali. Tapi anda pernah terbaca dalam laman percintaan di internet tentang salah satu tanda lelaki curang adalah apabila tercium bau minyak wangi pada bajunya. Oh tidak!

Apa yang patut dilakukan? Patut putuskan hubungan ini? Tapi anda menyayanginya! Patut teruskan? Tapi kalau dia curang dengan perempuan lain, tidak berguna juga. Anda terfikir apa salah anda? Tidak cukup cantikkah? Tidak cukup kuruskah?Anda buntu.

Anda bungkam tidak tahu solusi. Merasa rendah diri dan tidak berdaya. Fikiran anda berserabut. Hati anda bercampur baur di antara sayang dan benci.

Via : Giphy.com

Terfikir mahu berdepan dengan sang lelaki bertanya semula tentang perkara itu namun takut dikatakan sebagai cemburu buta, insecure dan membuatnya rimas. Tapi bagaimana kalau dia menyorokkan sesuatu? Anda tidak akan tahu perkara sebenar kalau tidak bertanyakannya secara langsung.

Sekelip mata anda hilang mood, tertekan dan sebal. Anda tidak mahu bercakap dengan semua orang. Telefon berdering, muncul nama teman lelaki di paparan. Berkira-kira mahu angkat atau tidak. Dia mengajak keluar dan sepanjang dalam kereta anda diam bersilang tangan. Apabila ditanya sebab, anda hanya kaku mengatakan tiada apa-apa.

Namun si jejaka tetap bertegas bertanyakan sebab kenapa anda berdiam diri. Bertanyakan salah dirinya dan memujuk. Setelah itu,  tiba-tiba mood anda kembali, berasa lega, ceria dan tenang kembali. Padahal anda menghabiskan sepanjang hari berfikir yang bukan-bukan, amat merugikan!

Anda berdua sudah mengharungi pelbagai dugaan sepanjang perhubungan. Anda percayakan dia selama bertahun-tahun, kenapa tidak sekarang?

Dan semua itu berulang dan terus berulang.

Via : Giphy.com

Psikologi Di Sebalik Merajuk

Merajuk adalah manifestasi daripada perasaan marah, geram dan sedih mengenai sesuatu perkara yang tidak mahu dizahirkan (1). Seseorang dikatakan merajuk apabila terus berdiam diri sambil berkelakuan menyebalkan tanpa mahu menceritakan sebab mengapa mereka berkelakuan seperti itu.

Dalam bahasa Tagalog, merajuk di sebut sebagai nagtatampo. Sering diperkatakan bahawa golongan kanak-kanak sahaja yang kerap kali merajuk namun orang dewasa juga merajuk dan ia kelihatan agak ‘memikat’ sebenarnya.

Manusia merajuk disebabkan beberapa faktor dan di antaranya adalah perasaan bahawa dirinya dipergunakan, tidak dapat apa yang diinginkan dan memendam pelbagai persoalan yang tidak mahu diluahkan. Kebanyakkan daripada mereka ini bahkan tidak mahu mengakui tentang hakikat tersebut.

Via : Giphy.comn

Terdapat juga individu yang akan merajuk tanpa sebab semata-mata untuk mendapatkan perhatian daripada pasangan, rakan mahupun keluarga. Golongan ini akan berasa puas apabila berjaya mendapatkan perhatian tersebut. 

Sesetengah individu akan memulaukan diri sendiri dan tidak menghiraukan orang lain namun ada juga yang beremosi, marah dan bersikap menjengkelkan untuk mendapatkan perhatian. Malah ketika merajuk, manusia dikatakan tidak jujur dengan setiap perkataan yang diucapkan (2).

Mungkin ada ketika, merajuk itu dilihat sebagai sikap yang ‘comel’ atau ‘manja’ namun jika itu terus berlarutan dan berulang-ulang. Ia akan menimbulkan perasaan rimas kepada orang sekeliling. Lebih-lebih lagi apabila sudah dipujuk namun masih berkeras dengan kelakuan itu.

Via : Giphy.com

Menurut psikoterapi dan penulis Adam Edward Jukes perasaan rajuk yang terlalu kerap dan melampau bukanlah perkara normal. Ia hasil daripada perasaan ditolak dan dirasakan tidak penting. Perkara itu dipendam terlalu lama sehingga menerbitkan rasa iri hati dengan kebahagian orang lain. Malah lebih parah apabila individu itu mempunyai niat untuk memusnahkan kesenangan tersebut.

Penyelidik berpendapat bahawa mereka yang kerap merajuk ‘meniru’ perlakuan yang dilakukan oleh kanak-kanak sebagai salah satu cara mendapatkan apa yang dikehendaki. Namun ia perlu dirawat jika terlalu berlebihan dan kronik kerana ia adalah perkara yang hanya dilakukan oleh individu pasif-agresif (3).

Ya. Pasif-agresif. Mungkin ramai masih belum cakna dengan terma ini.

Via : Giphy.com

Pasif-agresif ditakrifkan sebagai ‘memalsukan’ perasaan untuk menutup kemarahan. Terdapat juga pendapat yang menyatakan ia merupakan tingkah laku yang sengaja direka untuk menidakkan keadaan sebenar. Individu tersebut akan menunjukkan reaksi yang janggal kerana perbuatannya tidak selari dengan perasaan. Sesungguhnya hati tidak betah menipu (4).

Via : Giphy.com

Gangguan Personaliti

Personaliti adalah cara berfikir, perasaan dan tingkah laku yang membezakan setiap individu. Personaliti seseorang dipengaruhi oleh pengalaman, keadaan sekeliling dan ciri-ciri yang diwarisi (ibu bapa).

Gangguan personaliti pula merupakan cara berfikir, perasaan dan tingkah laku yang bercanggah daripada prediksi budaya positif dan akan mengakibatkan kesan negatif. Kebiasaannya, semua gangguan personaliti berpunca daripada pengalaman lampau yang berbeza daripada norma sebenar (5). Gangguan personaliti akan berterusan dan berkekalan.

Menurut Persatuan Psikologi Amerika, pasif-agresi dianggap sebagai gangguan personaliti dalam DSM-IV. DSM-IV adalah panduan yang diterbitkan oleh American Psychiatric Association (APA) berkenaan semua perkara yang melibatkan kesihatan mental.

Tingkah laku ini (pasif-agresif) mencerminkan ‘permusuhan’ yang dirasakan oleh individu yang tidak berani menyatakan secara terbuka. Kebiasaanya tingkah laku tersebut adalah satu ‘ungkapan kebencian’ kerana gagal mencari kepuasan dalam hubungan dengan individu atau institusi (tempat kerja) di mana mereka selalu bergantung (APA, 1968, p. 44, code 301.81).

Analogi Individu Pasif-Agresif

Dia sedang menggoreng ayam. Telefonnya berdering dan diangkat. Dia berbual dan ketawa kuat mendengar celoteh pemanggil di talian. Tiba-tiba hidungnya terbau sesuatu hangit. Ah, ayamnya hangus di kuali! Ini semua salah rakan yang menghubungi! Bisik hatinya.

Dia memandang baju baru yang dipakai rakannya. Dia mendekati sambil memuji kecantikan baju tersebut. Rakannya menjawab bahawa baju itu dihadiahkan oleh suaminya. Lantas dia menyanjung rakannya itu kerana memiliki suami yang murah hati membelikan baju dan berlalu pergi. Eleh, suami aku lagi kaya, boleh beli banyak lagi baju yang cantik. Gumamnya sendirian.

Dia termengah-mengah berjalan laju menuju ke bilik mesyuarat. Sengaja mahu menunjuk dia tergesa-gesa ke situ. Pintu bilik dibuka, riak resah diulit diwajah. Maaf dipinta atas kelewatan yang sememangnya dirancang. Alasan dicipta sama seperti sebelumnya. Apabila ditanya tentang tugasan yang diberi, dia menjawab spontan bahawa dia tidak tahu tarikh sebenar perlu di hantar. Biarlah! Nanti pun boleh hantar. Celotehnya di minda.

Pernah menghadapi situasi di atas? Pernah mengenali individu sedemikian rupa? Atau sebenarnya anda merasakan seperti membaca biografi tentang diri sendiri? Jika ya, anda adalah seorang pasif-agresif (6).

Karakter Si Pasif-Agresif

1.Menafikan Diri Sedang Marah

Menafikan perasaan marah merupakan ciri pasif-agresif yang klasik. Mereka lebih memilih untuk memendam perasaan tersebut. Selain itu, mereka tidak selesa menjelaskan perasaan (marah) mereka secara berdepan. Malah apabila ditanya tentangnya, mereka akan berkata ‘Tidak, saya tidak marah pun’ , ‘Tidak mengapa, saya okay’ , ‘apa – apa sahaja lah’ dan sebagainya (7).

Via : Giphy.com

2. Sentiasa Bertangguh Apabila Melakukan Sesuatu

Golongan ini sentiasa akan ‘bersedia’ apabila diminta melakukan sesuatu. Misalnya seorang ibu menyuruh anaknya untuk mengemaskan bilik, mereka akan menerima jawapan pantas daripada si anak dengan ‘okay’ , ‘baiklah’ dan pelbagai lagi jawapan. Namun apabila ibu kembali melihat keadaan bilik 1 jam kemudian, masih tiada perubahan yang terjadi (8).

Via : Giphy.com

3. Gemar ‘bermaksud’ di sebalik kata

Kebanyakan daripada mereka akan berkata perkara bertentangan dengan maksud sebenar. Golongan ini akan mengiakan sahaja apa yang dikatakan oleh rakan atau orang atasan. Namun selepas itu, mereka akan menceritakan perasaan sebenar mereka kepada orang lain. Mereka akan memuji tentang sesuatu perkara namun tidak memaksudkan pujian tersebut.

Mereka tidak berterus terang tentang ketidakpuasan hati mengenai sesuatu perkara atau tugasan yang diberikan oleh orang atasan. Bahkan mereka menerima tugasan tersebut dengan ‘gembira’ dan yakin dapat menyiapkannya. Namun selepas itu, mereka akan mengadu dan mengutuk mengenai perkara itu kepada seseorang (9).

Via : Giphy.com

4. Dirinya ‘Sempurna’ Tiada Salah

‘Pesakit’ pasif-agresif akan merasakan kehidupan mereka selalu dilanda masalah. Namun mereka akan menafikan bahawa masalah itu berpunca daripada diri mereka sendiri. Kebiasaannya golongan ini akan menyalahkan individu atau benda yang berada disekeliling mereka. Mereka juga mempunyai ‘kuasa’ untuk ‘meletakkan semula’ perasaan bersalah ke pihak lain (10).

Via : Giphy.com

Seseorang akan berasa hormat kepada individu yang sering memberi inspirasi, boleh dipercayai dan bercakap dengan jujur serta jelas. Tingkah laku pasif-agresif tentunya akan meruntuhkan tembok kepercayaan dan perasaan hormat kepada seseorang . Oleh itu, tekadkan hati untuk menjadi seseorang yang berintergriti dan berani menyuarakan sesuatu walaupun ia berbeza.

Sentiasa membuka ruang untuk menerima pendapat daripada orang lain. Nyatakan secara terang jika tidak senang (puas hati) dengan sesuatu perkara. Jangan simpan perasaan itu tanpa penyelesaian.

Tiada manusia yang sempurna, semua miliki kekurangan dan kelemahan. Jangan takut jika pernah tersalah ‘kiraan’ kerana masa masih ada untuk lanjutan kehidupan. Masih belum terlambat untuk perbaiki kesilapan. Masih belum terlewat untuk pulihkan kesalahan.

Rujukan 

(1) Definition of Sulk. (2010). Cambridge Dictionary. Sumber dipetik daripada https://dictionary.cambridge.org/dictionary/english/sulk

(2) Eleanor Shakiba. (2015). Four steps for handling aggressive behaviour: HR Masterclass by Eleanor Shakiba. Sumber dipetik daripada https://www.youtube.com/watch?v=4jUP4NctX8E

(3) Roger Dobson. (1999). Health: The dark side of the mood So sulking is not just an annoying habit, it’s a personality disorder. Sumber dipetik daripada https://www.independent.co.uk/arts-entertainment/health-the-dark-side-of-the-mood-1086951.html

(4) Ranna Parekh. (2016). What are Personality Disorders. Sumber dipetik daripada https://www.psychiatry.org/patients-families/personality-disorders/what-are-personality-disorders

(5) Cieli Edwars. (2017). Passive Aggressive Behavior Symptoms. Sumber dipetik daripada https://www.livestrong.com/article/129675-passive-aggressive-behavior-symptoms/

(6) Long, Long & Whitson. (2008). The Angry Smile: The Psychology of Passive-Aggressive Behavior in Families, Schools, and Workplaces. ISBN 978-1416404231

(7)Mind Tools. (2018). How to Manage Passive-Aggressive People. Sumber dipetik daripada https://www.mindtools.com/pages/article/passive-aggressive-people.htm

(8) Divashri Sinha. (2011). Dealing with a sulk-o-maniac. Sumber dipetik daripada https://timesofindia.indiatimes.com/life-style/health-fitness/health-news/Dealing-with-a-sulk-o-maniac/articleshow/8583940.cms

(9) Signe Whitson. (2014). 7 Reasons Why People Use Passive Aggressive Behavior, why passive aggression thrives in families, schools, relationships and offices. Sumber dipetik daripada https://www.psychologytoday.com/us/blog/passive-aggressive-diaries/201403/7-reasons-why-people-use-passive-aggressive-behavior

(10) Monica A. Frank. (2017) Crazy-Makers: Dealing With Passive-Aggressive People. Sumber Dipetik daripada https://www.excelatlife.com/articles/crazy-makers_blaming.htm

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.