Siakap Keli

Tetap Amalkan Budaya Dan Adat Melayu Asli, Melayu Pulau Cocos Di Australia Jadi Perhatian Sejarawan Dunia

Asal Usul Melayu 

Sebenarnya Melayu bukanlah satu bangsa yang hanya wujud di Malaysia. Dikatakan bahawa orang Melayu telah ‘tercipta’ sekian lama di Kepulauan Melayu yang juga disebut sebagai Malay Archipelago. Perkataan archipelago atau archipelagic diambil daripada sebutan Itali iaitu archipelagos yang didefinisikan sebagai terpenting dan utama. Palages membawa maksud laut atau wilayah lautan. Maka dapat disimpulkan bahawa archipelago diertikan sebagai wilayah laut yang terpenting.

Malay Archipelago (Sumber : Endricfan Devian Art)

Penulisan mengenai kepulauan ini dijumpai dalam bahan bacaan The Indian Archipelago. Malah kata archiopelago diguna pakai pertama kali oleh John Crawford dalam bukunya The Histori of Indian Archipelago pada tahun 1980 (1). Kepulauan Melayu ini terletak di antara Lautan India dan Lautan Pasifik ini mengunjur sejauh 4,000 batu dari timur ke barat dan 1,300 batu dari utara ke selatan dan merupakan kepulauan yang terbesar di dunia.

Archipelago ini terbentuk oleh beribu-ribu buah pulau kecil dan pulau-pulau besar seperti Filipina, Sumatera, Borneo, Jawa, Sulawi dan Semenanjung Malaysia. Menurut Zafarina Zainuddin (2015) sebelum berlakunya banjir besar yang menenggelamkan Pentas Sunda dan tamadunnya lebih kurang 10,000 tahun yang lalu, kumpulan pulau yang terletak di atas Pentas Sunda dipercayai bersambung sebagai satu tanah besar yang memudahkan pergerakan dan interaksi manusia di atasnya (2).

Wallace dan Alfred Russel menyatakan dalam kajian mereka bahawa Kepulauan Melayu atau Nusantara adalah kepulauan yang terletak di antara Indochina dan Australia. Ia juga digelar sebagai Dunia Melayu, Kepulauan Indo-Australia, India Timur, Kepulauan Nusantara dan nama lain dari masa ke masa. Nama itu diambil dari konsep bangsa Eropah pada abad ke-19 dan menggunakan bahasa Austronesia(3).

Kepulauan Australia yang ‘Hilang’ : Kepulauan Cocos

Barangkali masih ramai yang belum mengetahui bahawa Bangsa Melayu bukan hanya tinggal di Tanah Melayu tetapi di seluruh pelosok dunia. Namun kewujudan mereka itu kurang mendapat ‘publisiti’ dan hanya diketahui setelah muncul para pengkaji yang menyelidik mengenai mereka.

Persepsi mengenai Pulau Cocos yang diterbitkan dalam media sosial atau di mana-mana medium sebelum ini sedikit mengelirukan! Ia sebenarnya dipanggil sebagai Kepulauan Cocos. (4)

Kedudukan Kepulauan Cocos (Sumber: ABC.Net.Australia)

Wilayah Kepulauan Cocos atau lebih dikenali sebagai Kepulauan Keeling merupakan kepulauan yang menjadi sebahagian wilayah Australia. Ia terdiri daripada 2 buah atol dan 27 buah pulau batu karang yang terletak di berdekatan dengan Indonesia dan lautan Hindi .

Nama Kepulauan Keeling diambil dari nama Kapten William Keeling pada 1609  bersempena orang Eropah pertama yang melihat kepulauan tidak berpenghuni sehingga abad ke 19 itu. Keadaan itu berubah apabila keluarga Clunies-Ross mengambil alih kepulauan tersebut. Pada tahun 1811,  Alexander Hare yang bekerja di bawah Stamford Raffles telah membawa hamba-hamba dari Indonesia, Afrika Selatan dan Asia Timur untuk bekerja di kebun dan ladang.

Generasi 1930 Keluarga Clunies-Ross (Sumber: Geni.com)

Akibat tidak tahan dengan layanan kejam Hare, hamba-hamba tersebut lari ke bawah jagaan Kapten John Clunies-Ross yang juga berkhidmat untuk Raffles. Pada tahun 1867, Kepulauan itu berada di bawah pentadbiran Singapura yang sebelum ini dikenali sebagai Negeri-negeri Selat. Sebelumnya pada 1857, ia telah diletakkan di bawah empayar British.

‘Pemerintahan’ yang teratur dan baik dari keluarga Clunies-Ross telah mendapat penghargaan pada abad ke 19 apabila telah diiktiraf oleh Ratu Victoria sebagai negara mikro dan mendapat hak kepulauan tersebut selama-lamanya. (5)

Senarai Pemilikan Kepulauan Cocos (Sumber: ABC.Net.Australia)

Namun pada tahun 1914, kepulauan ini telah menjadi saksi mata Peperangan Cocos. Pertempuran itu terjadi sementelah tindakan kapal penjelajah ringan Australia, HMAS Sydney (di bawah komando John Glossop) bertindak balas terhadap serangan dari sebuah stesen komunikasi di Pulau Arah oleh kapal penjelajah ringan Jerman Emden SMS (yang diperintah oleh Karl von Muller).

Peristiwa tersebut membawa kejatuhan Singapura pada Perang Dunia ke II dan kepulauan tersebut jatuh ke tangan pentadbir Ceylon (Sri Lanka). Setelah melalui beberapa siri pemilikan pentadbiran akhirnya pada tahun 25 November, pemilikan kepulauan ini diletakkan di bawah tadbir Australia.

Keseluruhan Kepulauan Cocos : Keeling (Sumber: Centrel Intelligence Agency US)

Sisi Kehidupan di Kepulauan Cocos

Menurut laporan buku fakta dari Centrel Intelligence Agency pada tahun 2004, seramai 629 orang penduduk dicatatkan menetap di kepulauan itu. Para penduduk di situ terpisah melalui jurang bangsa seperti Eropah yang berada di Pulau Panjang dan Melayu di Pulau Selma. Populasi dianggarkan seramai 120 orang yang menetap di Pulau Panjang dan 500 orang di Pulau Selma (Home Island).

Turut dilaporkan bahawa masyarakat di situ menggunakan bahasa inggeris sebagai bahasa pertama namun turut memasukkan Bahasa Melayu sebagai dialek di situ. Kajian juga menunjukkan seramaai 80 peratus daripada penduduk di kepulauan itu beragama islam dan berfahaman mengikut Ahli Sunnah Waljamaah (6).

Bendera Rasmi Kepulauan Cocos (Sumber: Flag.Co.Uk)
Jata Kepulauan Cocos (Sumber: Wiki.Answers)

Kini, perhubungan di kepulauan ini adalah melalui sistem telekomunikasi Australia dan sistem pos. Telefon awam dan rangkaian telefon bimbit juga disediakan bagi memudahkan penduduk atau pelancong untuk berinteraksi dengan dunia luar. Malah kemudahan internet juga disediakan berserta domain peringkat tinggi.

Bukan itu sahaja, lapangan terbang juga telah disediakan di sini. Landasan daratan kapal terbang itu telah dibina di sebuah lagun. Syarikat penerbangan menyediakan perkhidmatan jet dari Perth, Australia ke kepulauan itu. Sama seperti kawasan di sekitar, kepulauan itu menggunakan matawang dalam nilai dolar Australia. Menurut laporan dolar Australia kini merupakan mata wang yang keenam diperdagangkan di pasaran dunia (setelah dolar ASyeneuropound sterling dan dolar Kanada) dan mencakupi sekitar 4–5 peratus dari transaksi dunia.

Ekonomi di sini adalah berasaskan pertanian. Tanaman seperti kopra dan kelapa menjadi punca rezeki penduduk apabila dieksport ke negara luar. Selain itu, kegiatan perikanan juga menjadi sumber pendapatan dan makanan utama di sana. Malah kini industri pelancongan di kepulauan itu turut dipromosikan dan mendapat sambutan yang sangat baik. Biro Australia mengeluarkan statistik bahawa kadar pengangguran di situ adalah rendah iaitu hanya 11.8 peratus sahaja (7).

Ceritera Melayu yang ‘Terdampar di Kepulauan Kelapa’

Daripada 27 buah pulau yang berada dalam Kepulauan Cocos, hanya 2 buah pulau sahaja yang mempunyai penduduk iaitu West Island (Pulau Panjang) dan Home Island (Pulau Selma).

Perbezaan antara Dua Buah Pulau (Sumber: SBS Australia)

Walaupun berada dalam satu kepulauan, dua pulau itu ternyata mempunyai perbezaan dari segi budaya umpama langit dan bumi. Sehingga kini Pulau Home memcatatkan sebanyak 450 keluarga muslim yang mengamalkan ajaran islam . Manakala Pulau West pula diduduki oleh  komuniti Australia anglo yang mencatatkan jumlah peminum alkohol tegar di dunia (8).

Muslim di Pulau Home Pulang dari Masjid (Sumber : SBS Australia)

Tahun 1984 menoktahkan memerintahan Kolonial Clunies-Ross apabila rakyat di sana memilih untuk ‘mengundi’ kebebasan mereka. Keangkuhan pemerintahan warisan Clunies-Ross telah dimomokkan di dada akhbar. Rakyat di pulau itu dipaksa untuk menghormati pemerintah sehingga perlu menundukkan badan tanda hormat apabila bertemu. Jika gagal berbuat demikian, mereka akan didenda atau diberi hukuman berat.

Petikan akhbar The Canberra (Sumber: New Mandala)

Apabila pihak Australia mengambil alih Kepulauan Cocos, legasi John Clunies-Ross diisytiharkan muflis, kehilangan banglo serta harta pusaka peninggalan keluarga mereka. Waris Clunies-Ross kini masih menetap di Pulau West ‘dipaksa’ untuk menerima kehidupan baru di bawah pemerintahan Australia.

John Clunies-Ross Jr (Sumber: SBS Australia)

John Clunies-Ross Jr (2018) mendakwa bahawa penduduk muslim yang berada di Pulau Home di bawa oleh keturunanya dulu dari Indonesia dan Malaysia menggunakan kapal. Mereka dibawa secara paksa untuk berkhidmat sebagai hamba di ladang kelapa.

Rakyat Indonesia dan Malaysia yang dibawa untuk bekerja di ladang kelapa (Sumber: SBS Australia)

Ramai yang beranggapan bahawa seorang Melayu akan ‘hilang’ kemelayuannya apabila berada diluar dari Tanah Melayu. Namun dakwaan radikal itu ditepis oleh masyarakat Melayu di kepulauan ini. Mereka masih menggenggam ‘api kemelayuan’ dengan kemas tanpa mengabaikan nilai itu sedikit pun. Sekali imbas kehidupan mereka sememangnya mirip keadaan Melayu di negara ini. Hatta perkampungan mereka berada di tengah lautan namun itu tidak menafikan kehidupan yang selesa untuk mereka.

Perkampung Melayu di Pulau Home (Sumber : SBS Australia)

Di pulau Home, mereka masih mengamalkan ajaran Islam yang ‘dibawa bersama’ oleh keturunan terdahulu. Amalan seperti sembahyang, berdoa, mengaji, bermusyuarah masih menjadi sendi utama dalam kelompok masyarakat. Malah disediakan semua kemudahan seperti pasaraya, masjid dan dewan untuk memaksimalkan kegiatan antara komuniti. Pada kebiasaannya, mesyuarat antara komuniti akan diadakan di dewan untuk mencapai kata sepakat dalam satu perbincangan mengenai sesuatu isu berbangkit.

Amalan berdoa sebelum makan di Pulau Home (Sumber: SBS Australia)
Kanak-kanak diajar mengaji dan tajwid di masjid (Sumber: SBS Australia)
Masjid di Pulau Home (Sumber: SBS Australia)
Warga tua mendengar isu yang disampaikan di dewan orang ramai (Sumber: SBS Australia)

Penduduk di situ memperoleh bekalan makanan dari pasaraya mini di atas pulau dan tidak perlu bersusah payah untuk pergi ke tanah besar. Semua keperluan asas harian dijual di situ. Harga sedikit mahal kerana barang dihantar oleh kapal dalam jangka masa 2-3 bulan sekali dalam kontena (10).

Kapal yang membawa kontena berisi keperluan harian penduduk di Pulau Home (Sumber: SBS Australia)
Pasaraya kecil di Pulau Home (Sumber: SBS Australia)
Penduduk memilih barang keperluan dalam pasaraya kecil di Pulau Home (Sumber: SBS Australia)

Bahasa, Pendidikan, Pengangkutan dan Media Komunikasi Masyarakat di Pulau Home

Ansaldo (2006) mengatakan Bahasa Indonesia dan Melayu digunakan sebagai bahasa pertuturan di sekolah. Beliau menambah bahawa Bahasa Melayu Cocos berasal daripada bahasa perdagangan Melayu pada abad ke 19 seperti bahasa Melayu Betawi yang dituturkan oleh suku yang berasal dari Jakarta. Malah bahasa tersebut bercampur kuat dengan pengaruh bahasa jawa(9).

Perkataan yang digunakan oleh penduduk setempat (Sumber: RTM)

Bahasa Inggeris digunakan dalam urusan pentadbiran di pulau itu. Namun ramai juga bertutur dalam Bahasa Inggeris yang bercampur aduk dengan Bahasa Melayu dan Indonesia dalam kehidupan harian mereka. Orang Melayu Cocos mempunyai Loghat tersendiri yang dikenali sebagai Bahasa Melayu Cocos atau Basa Pulu Kokos. Bahasa tersebut dikatakan agak kasar dan lapuk kerana terdapat perubahan kerap dalam penggunaan slanga serta maksud perkataan.

Jika mahu bersekolah, mereka perlu pergi ke Pulau West  yang berhampiran. Di sana telah di bina sebuah sekolah yang bernama Sekolah Tinggi Kepulauan Cocos (CIDHS). Ia berada di bawah pentadbiran Jabatan Pendidikan Australia Barat. Sekolah ini dipisahkan kepada dua kampus berbeza tempat mengikut umur.

Pihak guru akan menggunakan Bahasa Melayu untuk berinteraksi dengan kanak-kanak kecil sebelum mereka mahir menggunakan  Bahasa Inggeris. Hal ini berikutan kehendak kurikulum standard kelas pra-persediaan yang menetapkan Bahasa Inggeris sebagai bahasa utama di situ (sekolah).

Sekolah Tinggi Kepulauan Cocos (Sumber: ABC.Net.Au)

Pengangkutan yang digunakan oleh penduduk dipulau ini adalah seperti kereta, motor, van dan kereta golf. Dapat dilihat dalam kehidupan seharian penduduk di situ, ramai yang menggunakan kereta golf untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain

Kereta Golf yang digunakan oleh penduduk tempatan (Sumber : IDN Times)

Bukan itu sahaja, penduduk Pulau Home juga diberi kemudahan akses ke saluran televisyen dari Malaysia iaitu TV3, NTV7, 8TV dan TV9 sejak tahun 2013  melalui satelit. Oleh itu, masyarakat di sini boleh melihat secara jelas kehidupan bangsa mereka di Malaysia. Walau berbeza tempat namun jati diri masih dapat menyatukan. Selain itu, mereka boleh menonton siaran Australia sendiri melalui saluran  ABC6,  SBS7,  WAW8,  WOW10 dan  WDW11.

Adat dan Kebudayaan Melayu Menjadi Tonggak Utama Masyarat di Pulau Home

Walaupun beratus tahun berlalu, adat dan perayaan ala Melayu masih menjadi ikutan oleh masyarakat di sini. Sambutan seperti majlis doa selamat, perpisahan dan kenduri arwah juga diadakan selain menyambut perayaan utama di pulau itu iaitu perayaan Aidilfitri dan Aidiladha.

Sama seperti muslim lain di seluruh dunia, mereka juga akan melaksanakan ibadah puasa sebulan penuh pada bulan ramadan. Sambutan meriah ‘dihidangkan’ dengan makanan, tarian dan muzik. Penduduk di situ akan berbuka puasa beramai-ramai serta melakukan ibadah tarawih (8 rakaat , 3 witir). Tambah menarik, anak-anak muda akan ‘mempersembahkan’ pukulan gendang untuk menandakan berakhirnya acara solat tarawih berjemaah tersebut. Selesai bertarawih, masyarakat di situ akan makan bersama di khemah besar akan di pasang berdekatan dengan masjid.

Anak muda bermain gendang menandakan waktu solat terawih tamat (Sumber: GPTD)
Suasana moreh di bawah khemah yang disediakan berhampiran masjid (Sumber: GPTD)

Pada waktu siang akan diadakan aktiviti keagamaan seperti tadarus Al-Quran, Kelas Tahsin Al-Quran, majlis khatam Al-Quran dan sebagainya. Golongan muda menjadi ketua dalam setiap aktiviti kemasyarakatan yang berlangsung di pulau ini.

Kelas Tahsin Al-Quran dalam masjid Pulau Home (Sumber: GPTD)
Aktiviti tadarus Al-Quran yang melibatakan masyarakat setempat (Sumber : GPTD)

Malam sebelum syawal dimeriahkan lagi dengan pertandingan rumah tercantik. Rumah yang dihias paling menarik serta bersesuaian dengan tema Aidilfitri akan diumumkan sebagai pemenang. Majlis doa selamat dan tahlil diadakan pada malam sehari sebelum raya untuk mendoakan keselamatan penduduk pulau tersebut. Makanan untuk majlis doa selamat itu di masak beramai-ramai dan diagihkan kepada semua penduduk.

Sama seperti di Malaysia, masyarakat di sini juga berkumpul pada malam syawal untuk bersama-sama melaungkan takbir raya di masjid. Mereka juga akan bersembahyang sunat Aidilfitri pada pagi kemudiannya. Ukhuwah di kalangan penduduk muslim di situ sangat kuat kerana bilangan mereka yang dominan serta jumlah penduduk pulau yang hanya terdiri dari 450 buah keluarga sahaja (11).

Malam takbir raya di Pulau Home (Sumber: GPTD)
Sembahyang raya pagi Syawal (Sumber: GPTD)
Khutbah di bacakan selesai solat sunat hari raya (Sumber: GPTD)
Sesi bermaafan dan bersalam-salaman antara jemaah (Sumber: GPTD)

Habis sahaja sesi bermaafan antara jemaah, masyarakat di situ akan bergerak bersama-sama menuju ke tanah wakaf (kubur). Mereka akan melawat dan membersihkan kawasan sekitarnya.

Aktiviti melawat dan membersihkan kubur (Sumber: GPTD)
Waris melawat kubur (Sumber: GPTD)

Makanan Terhidang Pagi Syawal di Pulau Home

Makanan akan dimasak sehari sebelum menyambut perayaan setahun sekali itu. Kebanyakan warna Home akan merebun daging seperti kambing, lembu atau ayam yang diperolehi dari pasaraya kecil itu untuk dibuat sup. Daging-daging tersebut di bawa datang dari tanah besar menggunakan kapal.

Sebelum ini, burung Booby dijadikan daging utama masyarakat di pulau ini. Mahal burung Booby ini menjadi simbol kepada pulau ini kerana kehadirannya yang banyak. Tetapi pada tahun 2008, burung ini diisytiharkan sebagai spesis terancam dan pihak kerajaan ‘mengharamkan’ semua pihak untuk memburu burung itu apatah lagi memakannya. Setelah ‘diharamkan’ penduduk pulau itu menukar selera mereka kepada makanan laut dan daging lain seperti daging ayam dan sebagainya.

Pagi raya, masyarakat setempat akan menghidangkan nasi atau pulut kuning sebagai makanan utama. Makanan itu juga terkenal di Sabah. Selain itu, terdapat juga sup kambing, sup ayam dan ayam panggang yang menjadi antara makanan utama di pulau itu.

Nasi Kuning yang tekah siap dimasak oleh salah seorang penduduk (Sumber: GPTD)
Perapan ayam panggang disediakan sebelum digaulkan dengan ayam (Sumber : Azxrah Azah)
Ayam yang telah siap diperap dengan bahan-bahan perapan aan dibakar pada malam sebelum raya (Sumber: Azxrah Azah)
Daging kamping di perap kemudiannya direbus untuk jadikan sup. Daging direbus selama beberapa jam sehingga empuk (Sumber : Azxrah Azah)
Ayam yang direbus untuk dijadikan sup dan pati ayam untuk lain-lain masakan (Sumber: Azxrah Azah)

Selain itu , ada juga sebahagian dari penduduk di situ yang akan menganyam daun kelapa dan diisi dengan beras untuk dijadikan ketupat. tetamu yang datang juga akan dihidangkan dengan minuman tradisional masyarakat Kepulauan Cocos iaitu air kelapa (12).

Remaja Cocos yang sedang menganyam ketupat (Sumber: Azxrah Azah)
Sumber : Cocos keeling Islands

Malah ada keluarga yang akan memasak hidangan popular masyarakat Cocos iaitu terasi. Ia merupakan hidangan kerak nasi yang dicampur belacan dan digoreng rangup. Ia kemudiannya dihidangkan dengan makanan sampingan seperti resipi tradisi iaitu ayam begana.

Resepi Tradisi Cocos (Sumber : Malaysia Aktif)

Sambutan Unik Di Hari Raya Masyarakat Pulau

1. Rumah Terbuka di Pagi Raya

Apabila disebut mengenai hari raya, masyarakat sedia maklum mengenai rumah terbuka serta jamuan hari raya yang meriah dan mewah dengan makanan. Sama juga kejadiaannya di sini, mereka bergotong-royong memasak makanan di masjid untuk dihidangkan kepada penduduk yang datang. Selain rumah terbuka di masjid, masyarakat Home juga akan masak serta memanggil orang ramai untuk datang ke rumah bagi menyambut perayaan mulia itu bersama. Nyata budaya rumah terbuka dalam kalangan masyarakat juga diamalkan di atas pulau ini.

Rumah terbuka yang dianjurkan oleh pihak masjid (Sumber: GPTD)
Hidangan yang disediakan untuk tetamu yang datang ke rumah salah seorang penduduk (Sumber : GPTD)

2. Perlawanan Kapal Layar (Jukong)

Setiap kali sambutan raya, jawatankuasa masyarakat pulau itu akan menyusun beberapa aktiviti untuk disertai oleh penduduk setempat. Paling menarik adalah pertandingan kapal layar atau lebih dikenali sebagai jukong di situ.

Penduduk yang menyertai pertandingan itu terdiri daripada pelbagai peringkat umur. Mereka akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Kumpulan yang sampai dahulu ke garisan penamat akan dikira sebagai juara. Selain itu, para peserta juga akan dinilai dari segi kemahiran mengawal kapal layar tersebut.

Antara kapal layar yang akan digunakan oleh kumpulan yang menyertai (Sumber: GPTD)
Suri rumah yang menyokong suami mereka dari tepi tebing pantai (Sumber : GPTD)

3. Sambutan Raya Secara ‘Sihat’

Di Malaysia, sambutan raya meriah dengan ‘berjogging’ ke rumah sanak-saudara dan sahabat handai. ‘Maraton’ menjamah makanan dari rumah ke rumah. Namun di sini, masyarakat benar-benar bersenam pada hari raya!

Ya, mereka meraikan hari mulia itu dengan acara sukan antara penduduk. Penduduk boleh memilih acara yang mereka mahu sertai seperti bola sepak, bola tampar dan bola takraw yang digunakan sebagai bola sepak (golongan veteran).

Perlawanan Bola Sepak (Sumber : GPTD)

Perlawanan bola sepak ini pada kebiasaannya akan disertai oleh golongan muda remaja pulau tersebut. Beberapa pasukan yang terpilih akan bertanding di peringkat akhir dan membolot gelaran juara dan memperolehi piala.

Perlawanan bola tampar antara pasukan (Sumber : GPTD)

Bagi pertandingan bola tampar pula, golongan belia dalam lingkungan umur 25-45 yang akan memberi nama untuk mempamerkan kehebatan mereka bermain.

Pertandingan bola sepak yang menggunakan bola takraw (Sumber : GPTD)

Salah satu pertandingan yang menarik di pertandingan pada minggu perayaan ini adalah permainan  bola sepak . Namun bola yang digunakan adalah bola takraw dan bukannya bola sepak biasa. Permainan ini agak mencabar kerana saiz bola yang sedikit kecil berbanding bola biasa dan material bola takraw sedikit berat kerana diperbuat daripada rotan.

4. Malam Sayembara Nasyid dan Kebudayaan 

Pulau ini dengan majoriti 80 peratus penduduk muslim. Oleh itu aktiviti keagamaan adalah yang paling dominan di pulau ini. Hal ini termasuk juga persembahan kebudayaan islamik yang menjadi ‘penghibur’ di pulau itu. Masyarakat pulau ini dihiburkan dalam minggu perayaan dengan acara malam kesenian dan kebudayaan.

Kanak-kanak Home mempersembahkan tarian mereka dengan memakai baju raya (Sumber : GPTD)
Persembahan kebudayaan oleh kanak-kanak tempatan (Sumber : GPTD)

Kanak-kanak lincah menunjukkan bakat masing-masing mempersembahkan tarian kebudayaan melayu dan di tambah dengan campuran seni sekitar. Pakaian raya menjadi pakaian asas persembahan di samping pakaian kebudayaan.

Kumpulan marhaban mengalunkan ‘muzik’ dalam dewan orang ramai di Pulau Home (Sumber : GPTD)
Golongan veteran mempamerkan semangat ‘otai’ mereka dalam dunia persembahan kebudayaan (Sumber : GPTD)
Persembahan kumpulan nasyid yang terdiri daripada penduduk tempatan (Sumber :GPTD)

Golongan belia dan veteran juga tidak melepaskan peluang untuk mempersembahkan pertunjukkan yang memukau para penonton. Mereka meraikan bulan mulia itu dengan memuji-muji kebesaran pencipta denga mengalunkan nasyid, marhaban dan berzanji. Persembahan mereka diselitkan dengan bunyi-bunyian dari pelbagai alatan muzik yang menjadi salah satu dari tradisi orang Melayu (13).

https://www.youtube.com/watch?v=Wcbi-eY1arg

 

Rujukan

(1) John Crawfurd (1820). History of the Indian Archipelago. Containing an Account of the Manners, Arts, Languages, Religions, Institutions, and Commerce of its Inhabitants. In Three Volumes, Archibald Constable & Co., Edinburgh, 1820, Vol. 1.

(2) Zafarina Zainuddin. (2015). DNA dan Asal Usul Melayu. Sumber dipetik daripada http://www.utusan.com.my/rencana/utama/dna-dan-asal-usul-melayu-1.163353

(3) Wallace & Alfred Russel. (1869). The Malay Archipelago : the land of the orang-utan and the bird of paradise : a narrative of travel, with studies of man and nature. London :Macmillan and Co.

(4) Woodroffe, C.D.; Berry, P.F. 1994). Scientific Studies in the Cocos (Keeling) Islands: An Introduction. Atoll Research Bulletin. 399. Washington DC: National Museum

(5) Bastock & John. (1975). Australia’s Ships of War. Cremorne, NSW: Angus and Robertson. ISBN 0207129274.

(6) Nilai Dolar Australia. (2018). Sumber dipetik daripada https://my.tradingview.com/symbols/AUDUSD/

(7) Australian Government. (2011). “Territories of Australia”. Department of Infrastructure, Transport, Regional Development and Local Government.

(8) Oliver Smith. (2016). World’s biggest beer drinkers: Countries that drink the most beer per capita. Sumber dipetik daripada http://www.traveller.com.au/worlds-biggest-beer-drinkers-countries-that-drink-the-most-beer-per-capita-gvrbyr

(9) Ansol. (2006). Cocos (Keeling) Islands: Language Situation. In Keith Brown, ed. (2005). Encyclopedia of Language and Linguistics (2 ed.). Elsevier. ISBN 0-08-044299-4.

(10) Nicholas Egan. (2018). Australia’s Forgotten Islands Cocos (Keeling) Islands Documentary. Sumber dipetik daripada https://www.youtube.com/watch?v=Wcbi-eY1arg&t=664s

(11) Tasnim. (2014). Ar-Rayyan Ramadan di Pulau Kokos. Sumber dipetik daripada https://www.youtube.com/watch?v=68jwlFc6KS4

(12) Azah. (2018). Celebrating Raya on Cocos Keeling Islands. Sumber dipetik daripada https://www.youtube.com/watch?v=HMk5h6HVOwg

(13) Tasnim. (2014). Ar-Rayyan Aktiviti Raya di Pulau Cocos. Sumber dipetik daripada https://www.youtube.com/watch?v=2Ce8RJo0GSo&t=285s

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.