Siakap Keli

Ngeri, Lepas 12 Jam Makan Sushi Mentah, Tangan Lelaki Ini Bengkak Dan Melepuh, Sudahnya Terpaksa Dipotong

Seorang warga emas berusia 71 tahun di Korea Selatan terpaksa menanggung kesakitan apabila tangan kirinya terpaksa dipotong kerana dijangkiti bakteria selepas makan makanan mentah, sushi.

Dalam satu peristiwa yang aneh, hanya selepas 12 jam warga emas itu memakan ikan tersebut, tapak tangan kirinya mula sakit dan mengalami bengkak sebesar bola golf.

Keadaan  warga emas yang tidak didedahkan identitinya itu mula bertambah teruk apabila lepuh dan lebam yang besar mula muncul di tangannya.

Selepas dua hari, lelaki malang itu kemudiannya meminta bantuan doktor di Jeonju selepas keadaannya tidak bertambah baik kerana dia mula mengalami demam dan kesakitan di tangan yang melampu.

Lepuh telapak tangannya itu membesar berukuran 3.5cm, kira-kira sebesar saiz bola golf dan jangkitan itu turut tersebar di bahagian belakang tangan dan lengannya.

Pihak perubatan kemudian mengeluarkan air dalam lepuhan di tapak tangannya dan membuang tisu-tisu yang telah terjejas, serta mangsa diberi ubat antibiotik.

Malangnya, rawatan itu tidak berjaya dan keadaan tangan pesakit menjadi semakin teruk sehingga akhirnya terpaksa dipotong.

Daripada diagnosis doktor, lelaki tersebut disahkan mengalami jangkitan yang disebut vibriosis  yang disebabkan oleh bakteria vibrio vulnificus.

Lebih memburukkan keadaan kerana pesakit juga menghidap diabetes, tekanan darah tinggi dan penyakit buah pinggang yang memerlukan dia menjalani rawatan dialisis.

Ramai yang mengalami jangkitan kerana memakan makanan mentah makanan laut seperti tiram atau kerang tetapi kebiasaanya orang yang normal akan pulih selepas beberapa hari mengalami jangkitan.

Tetapi pesakit ini mempunyai sistem imun badan yang lemah dan juga menghidap penyakit buah pinggang meletakkanya sebagai lebih berisiko untuk dijangkiti dan mengalami komplikasi.

Walau bagaimanapun, selepas menjalani pembedahan memotong tangan yang terjejas itu, keadaan pesakit semakin baik dan dia dibenarkan pulang ke rumah.

Sumber : Daily Mail

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.