Siakap Keli

Bukan Calang-Calang, Skater Lagenda Dunia Tony Hawk Pun Pertahan Fatin, Doakan Dia Jadi Inspirasi Skater Malaysia

Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 disambut dengan meriah, barangkali di seluruh benua Asia dan semestinya diraikan dengan penuh keterujaan seluruh atlet-atlet yang terlibat. Apatah lagi jika berjaya meraih pingat, tidak kira apa pun warnanya.

Walaupun begitu, temasya sukan kedua terbesar di dunia itu mungkin menjadi satu acara yang tidak mahu diingati oleh skater muda negara, Fatin Syahirah Azizi. Detik hitam ketika dia dinilai dan dihentam dengan teruk oleh netizen daripada negara yang dia tampil ke Sukan Asia untuk wakili. Semuanya gara-gara rasa gugup melampau yang menjejaskan aksnya ketika turun bekasi dalam acara skateboard wanita di sana.

Video yang dimuat naik ke media sosial yang memaparkannya aksinya menjadi medan untuk netizen-netizen mencaci, mempertikaikan bakat dan menghentam pihak-pihak yang bertanggunjawab memilihnya sebagai wakil negara ke Sukan Asia. Kesannya, mungkin kerana kecewa dengan prestasi diri dan sedih dengan kecaman yang diterima, Fatin kemudian memuat naik satu IG Story memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan memadam semua gambar-gambarnya di akaun Instagram miliknya.

Sebahagian netizen kemudian yang masih rasional menghentam kembali komen keterlaluan yang dibuat oleh netizen-netizen tidak bertanggungjawab. Antaranya termasuklah seleberiti tanah air yang sudah berjaya diperingkat dunia, Yuna yang berkongsi kata-kata semangat melalu laman twitternya.

”Tiada apa yang membuat saya merasa lebih bangga selain melihat seorang gadis berusia 16 tahun tampil beraksi untuk mewakili negara. Semua faham, perasaan gugup membuatkan kamu tidak dapat memberikan yang terbaik ( Saya juga pernah merasa gugup, termasuklah lupa lirik ketika bersiaran langsung di TV).

”Tetapi tak apa, akan ada peluang yang lain untuk kami memberikan aksi lebih baik. Saya percaya dengan kamu,” kata Yuna.

Selain Yuna, seorang skater lagenda tanah air yang lebih dikenali dengan nama Pa’din Musa turut tampil berkongsi pendapatnya dan menyatakan sokongan kepada Fatin.

Menurut Pa’din, pengalaman yang dilalui oleh Fatin adalah sama dengan perasaan yang dilalui oleh semua skater yang menyertai mana-mana pertandingan.

”Semoga keluarga Fatin dan rakan-rakan terus memberi sokongan padu pada Fatin dan Fatin akan terus skate demi skateboarding dan keseronokkan,” kata Pa’din lagi.

Namun yang menjadi viral hari ini di media sosial apabila komen yang ditinggakan oleh seorang skater profesional dunia, Tony Hawk pada satu perkongsian terbaru Fatin di IG miliknya.

Tony Hawk yang berasal daripada Amerika Syarikat ini dianggap sebagai lagenda dalam dunia skateboarding dunia. Bayangkan, pada usianya baru sahaja mencecah umur 25 tahun, dia sudahpun menyertai sebanyak 103 pertandingan skateboarding bertaraf profesional dan memenangi 73 daripadanya serta meraih tempat kedua sebanyak 19 kali. Satu rekod yang sukar untuk ditandingi skater lain. Malah, Tony menjadi satu-satunya skater dunia yang mempertahankan gelaran Juara Dunia untuk 12 tahun berturut-turut. Hebat!

Memiliki pengalaman luas dalam dunia skateboarding dan memenangi pelbagai anugerah antaranya Make-A-Wish’s Favorite Male Athlete, Teen Choice Awards’ Choice Male Athlete dan Nickelodeon’s Kid’s Choice Awards’ Favorite Male Athlete, Tony hari ini terlibat dalam dunia perniagaan bernilai bilion dolar berasaskan sukan skateboard yang dicintainya.

Antaranya adalah franchais permainan video serta produk-produk sukan dengan jenama namanya sendiri seperti Birdhouse Skateboards, Hawk Clothing dan Tony Hawk Signature Series. Maka layaklah, lagenda sukan yang diminati Fatin sendiri yang mengeluarkan pendapat.

”Jangan berputus asa. Jika sebelum ini saya mendengar kata-kata pembenci saya di sepanjang hidup, mungkin saya sudah pun berhenti bermain skateboard lebih awal.

”Kamu boleh menjadi inspirasi kepada genarasi baru skater Malaysia,” kata Tony.

Komen yang ditinggalkan tony itu nyata mendapat reaksi positif daripada netizen-netizen yang turut hadir ke perkongsian terbaru itu untuk memberi semangat kepada Fatin.

Salah satunya komen yang ditinggalkan oleh pemilik akaun IG farispasta.

”@tonyhawk wow Tony Hawk supporting Malaysian skateboarder, teruk gila haters Malaysia sampai legend turun padang,” katanya yang mungkin merujuk kepada komen-komen negatif netizen terhadap Fatin sebelum ini.

”@tonyhawk appreciate your supportive comment legend. Thank you,” kata seorang lagi netizen pemilik akaun enciksyafa.

Malah, kata-kata penuh semangat tersebut sekali lagi turut dikongsi oleh Yuna di Twitternya.

Sumber : Fatin Syahirah Azizi, Yuna, Pa’din Musa, Tonyhawk.com

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.