Siakap Keli

(Video) Bunga Kebangsaan Pun Tak Tahu? Agak-Agak Korang Boleh Jawab Tak Soalan Kenegaraan Ditanya Kepada Ben Laden Ni?

Semalam, kita sekali lagi diberi rezeki oleh Tuhan untuk terus merasai nikmat dan aman dengan menyambut Hari Kemerdekaan Negara yang ke-61 dengan sambutan meriah peringkat kebangsaan diadakan di Putrajaya.

Daripada si anak kecil hingga yang dewasa, rakyat marhaen dan pemimpin utama negara, Hari Kemerdekaan di sambut dengan perasaan gembira. Pelbagai ucapan, gambar dan kata-kata yang indah-indah dikongsi melalui media sosial, sebagai menzahirkan rasa cinta kepada kepada negara Malaysia.

Turut tidak ketinggalan F8Buzz yang menganjurkan satu kuiz Merdeka dengan mengajak artis untuk turut serta dalam kuiz tersebut. Melalui satu perkongsian satu video di laman facebook F8Buzz, artis muda meningkat naik, Ben Laden adalah antara artis yang telah diuji pengetahuan am mereka tentang negara. Agak-agak korang, Ben Laden dapat jawab dengan betul tak semua soalan yang ditanyakan oleh F8Buzz?

Soalan pertama yang diajukan kepada Ben Laden adalah mengenai bunga kebangsaan Malaysia. Ya, Malaysia sememangnya mempunyai pelbagai tumbuhan berbunga disebabkan cuacanya yang mungkin sesuai. Ada bunga mawar, ada bunga matahari, orkid, bunga kemboja dan bunga reflesia. Tetapi kami yakin, semua orang pasti tahu mengenai bunga kebangsaan iaitu bunga raya kan? Ben Laden pun tahu sebenarnya, tapi mungkin sedikit gugup, dia tidak dapat memberitahu nama bunga tersebut walaupun sudah mempunyai gambaran yang jelas dalam mindanya.

Soalan kedua pula adalah nama bendera Malaysia. Kami dan anda diluar sana sudah tentu menjangkakan jawapan ‘Jalur Gemilang’ yang keluar daripada mulut Ben Laden, namun sayangnya, dia lebih selesa untuk memilih jawapan ‘Bendera Kebangsaan’ sebagai jawapan kepada pertanyaan kedua. Not bad la walaupun tak tepat, sekurang-kurangnya ‘Bendera Kebangsaan’ pun ada kaitannya juga dengan bendera Malaysia.

Ok, untuk soalan ketiga pula, pengacara daripada F8Buzz bertanya kepada Ben Laden mengenai bucu pada bintang yang terdapat dalam Jalur Gemilang. Bagi mereka yang pernah melalui sistem persekolahan di Malaysia, Jalur Gemilang adalah antara objek yang sering diangkat sebagai subjek lukisan dalam kelas Pendidikan Seni. Bermula daripada Tadika, Sekolah Kebangsaan sehinggalah ke Sekolah Menengah Kebangsaan, cikgu Pendidikan Seni mesti pernah suruh lukis Jalur Gemilang kan.

Bulan, Bintang 14 Bucu, Jalur 14 dan warna merah, putih, biru dan kuning mesti melekat kuat dalam otak. Tapi alamak, Ben Laden terkurang 1 bucu. Tak pelah, boleh dimaafkan sebab bucu pada bintang tu banyak sebenarnya. Dengan tekanan diaju soalan oleh pengacara, rasanya mungkin Ben Laden tidak dapat menangkap dengan kemas perkiraan bucu pada bintang tu.

Ben Laden kemudian ditanya mengenai kereta pertama negara. 5 saat, cuba fikir jawapan anda apa. Jika Proton, Tahniah. Anda dengan Ben Laden berjaya menjawab dengan tepat. Betul, kereta pertama negara adalah kereta keluaran Proton iaitu Proton Saga yang dilancarkan pada 1 September 1985. Hari ini genap 33 tahun kereta pertama Malaysia dilancarkan tau.

Pengacara kemudiannya bertanya kepada Ben Laden nama Perdana Menteri Malaysia yang ke-3. Yang ini memang pengetahuan asas untuk semua rakyat Malaysia la kan, nama pemimpin negara tak kiralah mereka yang sudah lama pergi mengadap Tuhan atau yanag masih hidup dan berbakti, wajar kita ingati.

Ben Laden pun sebenarnya ingat nama Perdana Menteri ketiga, tapi biasalah ditanya dalam keadaan tidak bersedia. Kami fikir, ramai barangkali gagal untuk menyebutnya dengan tepat kan. So, pada yang tidak tahu, Perdana Menteri Malaysia yang ke-3 adalah Y.A.Bhg. Tun Hussein Bin Onn yang memegang jawatan tersebut daripada 1976 sehingga 1981.

Soalan seterusnya adalah lokasi pokok getah yang tertua di Malaysia. Yang ini, kalau anda tak tahu, sama seperti Ben Laden, memang boleh dimaafkanlah. Apa kena mengena pokok getah dengan sambutan merdeka kan? Tapi apa pun, pokok getah yang tertua terletak di Perak, bukannya Pahang okay.

Pernah tak korang dengar sebelum ini mengenai perkhidmatan feri yang mengangkut penumpang daripada semenanjung ke Sabah? Kami pada awalnya pun tak pernah dengar, sama seperti Ben Laden, Rupanya memang ada dan perkhidmatan feri tersebut dikenali sebagai Feri Malaysia.

Dan tibalah kepada soalan terakhir yang diajukan oleh pengacara F8Buzz kepada Ben Laden iaitu mengenai Rukun Negara. Pertanyaannya adalah, ”Apakah Rukun Negara yang ke-3?”. Anda jawab, jangan Google atau tengok belakang buku tulis sekolah anak atau adik okay. Cuba jawab sendiri.

Tapi Ben Laden jawab apa? Ben Laden play safe untuk soalan terakhir ini, dia jawab tak ingat. Kami rasa okaylah, sebab kita pun dah lupa kan bila kali terakhir kita ambil tahu mengenai rukun negara.

Jadi, untuk pengetahuan anda, Rukun Negara ada lima dan yang ke-3 adalah Keluhuran Perlembagaan.

Sumber : F8Buzz

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.