Siakap Keli

Cuepacs Sambut Baik Penyeragaman Gaji Minumum RM1050 Seluruh Negara

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan  Awam (Cuepacs) menyambut baik pelaksanaan kadar gaji minimum yang seragam bagi seluruh negara iaitu RM1,050 sebulan atau RM5.05 sejam berkuat kuasa 1 Jan 2019.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata biarpun nilainya tidak begitu tinggi, namun Cuepacs berpuas hati kerana terdapat sedikit perubahan dalam angka gaji minimum dalam sektor pekerjaan.

“Pengumuman gaji minimum semalam merupakan pengumuman pertama. Harapan Cuepacs kepada kerajaan adalah agar kajian berkaitan pelaksanaan gaji minimum dilakukan secara berterusan.

“Cuma kita menaruh harapan kepada janji kerajaan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) iaitu kadar gaji minimum ditetapkan sebanyak RM1,500 di seluruh negara,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Kerajaan semalam mengumumkan bersetuju untuk melaksanakan kadar gaji minimum yang seragam bagi seluruh negara selepas menimbang syor-syor yang diberikan Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) hasil kajian semula terhadap Perintah Gaji Minimum 2016.

Perintah Gaji Minimum 2016 memperuntukkan kadar gaji minimum sebanyak RM1,000 sebulan bagi Semenanjung Malaysia dan RM920 sebulan bagi Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan.

Dalam pada itu, Azih juga menggesa kerajaan untuk menyemak semula kadar gaji minimum di sektor awam dengan menaikkan sedikit kadar yang sedia ada.

“Gaji minimum di sektor awam ditentukan berdasarkan kelayakan akademik, iaitu dalam kerajaan kelayakan akademik minimum ialah kelulusan PT3 ataupun PMR. Jadi, sudah tiba masanya untuk kerajaan menaikkan sedikit lagi gaji minimum ini agar ia setaraf dengan pencapaian akademik,” katanya.

Sementara itu, pengumuman gaji minimum baharu itu turut mendapat perhatian anggota  Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin menerusi hantaran di Twitternya yang berkata isu gaji minimum sangat rumit sebab melibatkan majikan dan pekerja.

“Saya rasa RM1,200 paras yang sesuai dan realistik untuk kenaikan pertama di bawah kerajaan Pakatan Harapan. Namun, kerajaan dilihat telah tunduk kepada kehendak majikan dan tidak memihak kepada pekerja.

“Kerajaan perlu mengimbangi kepentingan majikan dan pekerja. Kalau paras terlalu tinggi, boleh menjejaskan kedudukan majikan. Kalau terlalu rendah, nasib pekerja tidak dijaga. Namun, pengumuman kerajaan bahawa gaji minimum terbaru adalah RM1,050 berbanding RM1,000 mengecewakan,” katanya menerusi hantaran itu. – Bernama

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)

Tambah komen

Sumbang Artikel Anda

Anda suka menulis dan berkongsi? Tetapi tiada medium yang sesuai? Anda dialu-alukan untuk menulis di Siakap Keli sekiranya penulisan anda itu suatu perkara yang manfaat.

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di