Siakap Keli

TMJ Dakwa Laman Sosialnya Dan Sultan Johor Diintip Guna Teknologi Dari Israel?

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim atau lebih dikenali sebagai TMJ, melalui satu kemas kini di akaun facebook rasminya, HRH Crown Prince of Johor mendakwa laman sosial miliknya serta Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dipantau oleh pihak-pihak tertentu menggunakan teknologi daripada negara Israel.

Melalui perkongsian tersebut, TMJ mendakwa teknologi tersebut yang dimiliki oleh kerajaan digunakan untuk mengintip dan mengumpulkan data selain turut digunakan ketika pilihanraya untuk membantu perang siber.

TMJ turut mendakwa pihaknya mendapati ramai cybertroopers diletakkan diletakkan di laman sosial milik pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

”Bila ia berkaitan dengan keselamatan negara, saya berpendapat ia adalah sesuatu yang sangat berharga. Namun, peralatan ini tidak patut diseleweng oleh mana mana pihak untuk kepentingan sendiri,” kata kenyataan tersebut.

Berdasarkan kenyataan yang sama, TMJ turut menyebut bahawa sebelum ini terdapat beberapa orang pegawai kerajaan yang bertemu dengannya dan memaklumkan beberapa agensi kerajaan termasuk Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Unit Khas, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Pejabat Perdana Menteri turut menggunakan teknologi tersebut.

”Saya tahu ia digunapakai oleh kerajaan dahulu, tetapi tidak sepatutnya berlaku di zaman Malaysia Baru – tiada tempat untuk pengamalan sebegini kini.

”Adalah sangat tidak baik apabila ada pegawai yang telah menyampaikan pesan bahawa saya dan Ayahanda saya, DYMM Sultan Johor sedang diperhatikan,” katanya lagi.

Melalui kenyataan tersebut, TMJ menegaskan bahawa beliau dan keluarga Sultan Johor tidak mempunyai masalah dengan mana-mana kerajaan yang memerintah, malah menyokong penuh semua keputusan betul yang dibuat oleh kerajaan.

”Namun kami juga tidak akan berdiam diri apabila berlaku keputusan yang salah. Akhir kata, satu-satunya perkara yang rakyat mahukan adalah kerajaan mengutamakan kemajuan, bukannya bertelagah di dalam negara. Saya berdoa semoga kerajaan menepati janji janji kepada rakyat,”.

Sumber : HRH Crown Prince of Johor

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Tambah komen

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di