Siakap Keli

Polis Tahan Lapan Iidividu Main Judi Belangkas Di Pendang

PENDANG, 10 Sept (Bernama) — Lapan individu yang sedang leka bermain judi belangkas di kawasan kebun getah di Kampung Lampan dekat sini ditahan polis dalam satu serbuan petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah (JSJ) Kedah, SAC Mior Farid Al Atrash Wahid berkata kesemua mereka terdiri dari tujuh lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 26 hingga 75 tahun.

Serbuan berkenaan dilakukan sepasukan anggota dan pegawai JSJ daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah dan Ibu Pejabat Daerah Pendang pada kira-kira 6.40 petang.

“Ketika serbuan terdapat hampir 20 orang berada di kawasan itu, namun sebahagiannya berjaya melarikan diri dan ada yang kita tangkap untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Beberapa peralatan bermain judi turut dirampas antaranya sekeping kanvas tertera lukisan gambar ikan, udang, belangkas dan bunga, serta seunit pinggan, mangkuk aluminium, biji dadu serta wang tunai berjumlah RM1,020.

Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan dan denda sehingga RM5,000 jika sabit kesalahan.

Sumber : BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.