Siakap Keli

”Mak Jual Kuih Besarkan Kami 11 Beradik, Ayah Niaga Sendiri,” Hidup Susah Tapi Berjaya Dalam Pelajaran, Kisah Luqman Jadi Inspirasi

Pernahkah anda mendengar pepatah hanya dengan pelajaran boleh mengubah masa depan? Setuju atau tidak, ramai yang berjaya mengubah nasib keluarga, keluar dari kepompong kemiskinan setelah berjaya dalam pelajaran.

Ini mungkin secebis kisah masyarakat. Namun perkongsian hidup dari Luqman Suhaimi boleh dijadikan inspirasi kepada mereka senasib bahawa kesusahan bukan penghalang untuk berjaya. Datang dari keluarga susah, anak ke 8 dari 11 beradik ini menjadi kebanggaan keluarga. Bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran, tetapi beliau membuktikan anak dari golongan susah pun berjaya melanjutkan pelajaran di sebuah universiti terkenal di London dalam bidang kejuruteraan dengan mendapat tajaan penuh.

Luqman ketika dihubungi berkata, kesusahan ibu ayah menjadi perangsangnya untuk berjaya. Ibu yang hanya berniaga kuih dan ayah yang bekerja sendiri mengambil upah membuat papan tanda itulah yang menampung kehidupan mereka sekeluarga. Katanya, tidak kira bagaimana susah sekalipun hidup, utamakan pelajaran kerana itu yang akan mengubah nasib keluarga. Jom ikuti perkongsiannya seperti di bawah.

https://www.instagram.com/p/BnohBMvHQ7x/?hl=en&taken-by=luqmansuhaimi

Berada dalam keluarga yang mempunyai 11 orang adik beradik tidak mudah. Saya membesar melihat rakan-rakan pergi bercuti sementara saya hanya boleh berharap mengunjungi pasaraya terdekat semasa cuti hujung minggu. Saya selalu merasa teruja bila ayah belanja kami adik-beradik makan KFC, itupun sekali dalam tempoh beberapa bulan.

Kami juga terpaksa berpindah-randah dari satu rumah ke satu rumah disebabkan ibu ayah yang terpaksa bekerja keras untuk menyara kami sekeluarga. Jadi masa kanak-kanak saya banyak dihabiskan dalam kejiranan yang berbeza. Saya selalu sahaja terlambat pergi ke sekolah kerana ayah terpaksa menghantar kami adik-beradik ke 3-4 sekolah yang berlainan.

Sebagai seorang kanak-kanak, saya mempunai keinginan dan selalu merasa  cemburu apabila orang lain mudah mendapatkan apa yang mereka inginkan. ”Best haritu mak aku bagi aku phone baru sbb dpt 6A untuk PMR. Hg dapat 8A PMR mesti hadiah lagi best kan?” Saya hanya tersenyum tanpa menjawab soalan tersebut.

Saya terpaksa bekerja keras dalam subjek biologi sewaktu di sekolah menengah dan selalu berharap untuk bertanya pada ayah jika saya boleh mengikuti kelas tambahan. Tetapi, saya tidak sampai hati untuk bertanya padanya kerana saya tahu duit yang ada perlu digunakan untuk menyara adik-adik yang masih kecil.

Pada suatu pagi semasa dalam kelas bahasa Inggeris, cikgu bertanya soalan yang saya sendiri boleh jangkakan. “Luqman, cuma tinggal kamu sorang je belum bayar yuran sekolah. Bila boleh bayar eh?” Saya tahu saya tidak boleh minta dari ibu ayah kerana adik-adik yang lain juga memerlukannya untuk perbelanjaan yuran sekolah mereka.

Saya perlu mencari jalan bagaimana untuk mendapatkan wang, jadi saya mula menjual t-shirt sewaktu di sekolah. Dari situlah, saya mula mengumpul wang bagi menampung perbelanjaan semasa di sekolah.

Bila menginjak usia 16 tahun, perspektif hidup saya mula berubah. Saya mula benci untuk bangun pagi ke sekolah tetapi saya tersedar bahawa masih ramai lagi di luar sana yang tak bernasib baik dan tidak berpeluang untuk belajar.

Saya pernah menangis kerana terlalu ingin memakan KFC, tetapi tetapi apabila melihat nasi + telur + kicap pada pinggan, saya rasa beryukur kerana masih mendapat makanan. Saya selalu merungut kerana tidak pernah mempunyai bilik sendiri tetapi apabila melihat bumbung di atas kepala, saya rasa bersyukur mempunyai tempat berteduh.

Hasil daripada rasa bersyukur walau hidup serba kekurangan, sekarang saya dalam perjalanan ke London, mengejar impian segulung ijazah di bawah biasiswa Petronas. Sekarang bukan sahaja saya mempunyai duit yang lebih dari cukup untuk diri sendiri, tetapi juga saya dapat menghulurkan sedikit bagi membantu keluarga. 

Alhamdulillah. Terima kasih Petronas kerana memberikan saya peluang menyambung pelajaran. Paling penting, terima kasih kedua-dua ibu ayah yang telah banyak berjasa. Jika mereka memberikan apa yang saya mahukan dulu, mungkin saya tidak dapat mempunyai apa yang saya ada sekarang.

Sumber : luqmansuhaimi

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.