Siakap Keli

Malaysia Lancar Hala Tuju Penggunaan Plastik Pakai Buang Bulan Depan

PUTRAJAYA, 24 Sept (Bernama) – Malaysia akan melancarkan pelan hala tuju sifar plastik pakai buang 2018-2030 bagi mengurangkan sisa plastik dalam negara termasuk dasar penggunaan penyedut minuman plastik sempena Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM) di Kuala Lumpur, bulan depan.

Menteri Tenaga, sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata di bawah pelan hala tuju itu, penggunaan penyedut minuman plastik akan hanya ditawarkan atas permintaan pelanggan.

”Pelan hala tuju itu termasuk dasar mengenakan bayaran untuk beg plastik di kedai dan tujuan penggunaan wang yang dikutip itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi ‘town hall’ bagi membincangkan dan menangani penggunaan plastik pakai pakai buang, di sini hari ini.

Yeo berkata pelan itu akan turut menyenaraikan cadangan untuk pengeluar produk plastik konvensional yang berasaskan hidrokarbon untuk mengubah kepada kaeadah mesra alam termasuk menghasilkan penyedut minuman guna semula.

“Pelan hala tuju ini bukan sebuah dasar dilancarkan hari ini dan penggunaan bahan plastik dilarang sama sekali esok. Kementerian tidak mahu ‘membunuh’ pengeluar produk plastik tetapi sebaliknya persediaan untuk mereka menghasilkan produk-produk yang lebih mesra alam sekitar.

“Kerajaan mahu pengeluar plastik berkembang maju dengan produk-produk alternatif,” katanya.

Baru-baru ini, Kementerian Wilayah Persekutuan mengumumkan pengharaman penyedut minuman plastik berkuat kuasa1 Januari 2019 di wilayah persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bagi mengurangkan pencemaran berasaskan plastik dan memulihara alam sekitar.

Semasa sesi town hall itu, Yeo memberitahu peserta bahawa Malaysia berada di ranking kelapan dunia dalam soal salah urus sisa plastik dan negara merupakan pengeksport  bahan plastik keempat terbesar  di ASEAN dan ke-25 di dunia pada tahun lepas.

Sumber : BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.