Siakap Keli
Gambar : India Times

India Miliki Jumlah Juruterbang Wanita Tertinggi Di Dunia

India mempunyai nisbah tertinggi juruterbang wanita di seluruh dunia pada kadar 12.4 peratus berbanding kira-kira lima peratus secara global, lapor agensi berita China Xinhua memetik media tempatan pada Rabu.

Menurut laporan akhbar harian berbahasa Inggeris, The Times of India, jumlah juruterbang wanita telah meningkat hampir dua kali ganda sejak empat tahun lepas.

Pada masa ini, terdapat 1,092 juruterbang wanita di India daripada jumlah keseluruhan 8,797 orang berbanding 586 orang daripada jumlah keseluruhan 5,050 juruterbang pada 2014.

Memetik angka yang dikeluarkan oleh Persatuan Juruterbang Wanita Antarabangsa, terdapat 7,409 juruterbang wanita di seluruh dunia yang menyaksikan nisbah sebanyak 5.2 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga kerja juruterbang.

Selain itu, India dikatakan telah menyaksikan pertumbuhan maksimum dalam jumlah juruterbang komersial wanita sejak kebelakangan ini.

Syarikat penerbangan rasmi, Air India, turut berbangga dengan penglibatan aktif juruterbang wanita di negara itu kerana terdapat kira-kira 280 juruterbang wanita di syarikat tersebut, yang mewakili hampir 12.8 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga kerja juruterbang.

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.