Siakap Keli

Kisah Skandal Jho Low Bakal Difilemkan Tidak Lama Lagi- Penulis Buku

Umum sudah mengetahui mengenai skandal melibatkan ahli perniagaan kontroversi Malaysia, Jho Low yang mempunyai kaitan dengan syarikat pelaburan strategik milik negara, 1MDB.

Kisah mengenainya bukan sahaja dilaporkan oleh media-media tempatan, malah ia turut dilaporkan hampir di seluruh dunia. Baru-baru ini, sensasi Jho Low terus diperkatakan oleh orang ramai dengan pelancaran sebuah buku yang mengupas secara terperinci mengenai peristiwa-peristiwa membabitkan ahli perniagaan berkenaan.

Buku tersebut diberi tajuk The Billion Dollar Whale yang ditulis oleh Tom Wright dengan wartawan The Wall Street Journal (WSJ), Bradley Hope.

Terkini, dalam satu sidang media di Kuala Lumpur, Tom memaklumkan kepada media bahawa sebuah filem mengenai Jho Low berdasarkan buku berkenaan bakal diterbitkan. Tom turut mendedahkan bahawa perbincangan sedang dijalankan dengan beberapa pihak tertentu berhubung perancangan berkenaan seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal berita atas talian.

Dia bagaimanapun enggan mendedahkan secara terperinci mengenai produksi yang bakal diberi tanggungjawab untuk menerbitkan filem adaptasi berkenaan. Namun secara berjenaka mengesahkan bahawa syarikat Red Granite Pictures (Red Granite) sudah pasti tidak akan dipilih.

Red Granite merupakan syarikat milik anak tiri Datin Rosmah Mansur, Riza Aziz yang turut didakwa menerima wang yang diselewengkan daripada 1MDB. Syarikat berkenaan sebelum ini pernah menerbitkan sebuah filem, The Wolf of Wall Street yang dibintangi oleh pelakon kategori A Hollywood, Learnado DiCaprio pada 2013.

Tom Wright

Kisah membabit 1MDB dan Jho Low adalah isu besar yang hangat diperkatakan di seluruh negara untuk sekian lama. Peralirah kuasa kepada pentadbiran baru selepas Pilihan Raya Umum ke-14 Mei lalu menyaksikan pendedahan demi pendedahan dibuat. Ketika ini, beberapa nama besar dalam arena politik tanah air termasuk pemimpin kerajaan terdahulu berada dalam siasatan Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.