Siakap Keli

SST : Pemaju Perumahan Bertegas Harga Rumah Akan Naik

Sebuah portal berita tempatan hari ini melaporkan bahawa syarikat pemaju perumahan tidak menolak kemungkinan bahawa harga rumah akan meningkat sekiranya kerjaan bertindak mahu menarik balik pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) terhadap bahan binaan dan perkhidmatan binaan.

Media berkenaan yang melaporkan kenyataan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSN Group of Companies (MSN), Masnawi Ariffin berkata, tidak kira sama ada GST mahupun SST, ia bukanlah merupakan satu-satunya faktor yang mempengaruhi harga jualan rumah di Malaysia.

Antara faktor lain yang disebut adalah harga atau kos tanah terutamanya perumahan baru dibina di atas tanah bernilai tinggi.

Portal berita tersebut turut menyebut bahawa Masnawi memberitahu yang harga rumah bersifat subjektif manakala SST hanya dikecualikan ke atas barangan asas binaan sahaja antaranya simen, bata dan pasir sahaja, sedangkan banyak lagi barangan lain seperti kelengkapan serta kekemasan bilik air dan sebagainya tidak dikecualikan daripada SST. Ia sekaligus menyebabkan berlaku peningkatan kos.

Lapor portal itu lagi, syarikat perumahan berpendapat pengecualian SST itu hanya dapat mengekalkan harga rumah buat sementara waktu. Namun sekiranya kerajaan menarik semula pengecualian tersebut, harga rumah bakal naik kembali.

Melalui laporan portal berkenaan juga, Masnawi berkata orang ramai terus beranggapan bahawa semua barang untuk membina sesebuah rumah tidak dikenakan cukai sebaik sahaja pengumuman tersebut dibuat sedangkan pengecualian hanya diberikan kepada sedikit barang sahaja. Sedangkan aspek lain seperti tanah dan kekemasan rumah menelan belanja yang tinggi.

Masnawi juga dilaporkan turut bertanya sama ada kerajaan dapat memberi jaminan bahawa tidak berlaku sebarang kenaikkan harga terhadap barang binaan sekurang-kurangnya dalam tempoh dua tahun ketika pemaju perumahan memohon kelulusan bagi projek perumahan.

Portal berita itu juga turut membawakan laporan daripada Pengarah Jualan Bandacaya Group, Raja Umar Raja Ali yang berkata bahawa GST dan SST hanya memainkan peratusan yang kecil dalam penentuan harga rumah.

Katanya, mengenai isu harga rumah, hanya Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH)  yang boleh memainkan peranan dalam mengawal harga rumah.

Menurut Raja Umar seperti yang dilaporkan portal berita tersebut, jabatan berkenaan sudah tahu harga lokasi tanah dan binaan sesuatu projek perumahan.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dilaporkan berkata kerajaan tidak teragak-agak untuk menarik balik pengecualian cukai sebanyak 6 peratus terhadap bahan binaan sekiranya pemaju perumahan tidak menurunkan harga rumah.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.