Siakap Keli

Khidmat Jurulatih Skuad B-16 Kebangsaan, Lim Teong Kim Ditamatkan Serta-Merta

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melalui satu kemas kini terbaru di laman facebook rasmi memaklumkan khidmat Jurulatih Skuad Kebangsaan Bawah 16 tahun kebangsaan, Lim Teong Kim telah ditamatkan.

Penamatan khidmat serta merta berkenaan berlaku selepas skuad kebangsaan tewas di tangan Jepun sebentar tadi dalam saingan Piala Asia B-16. Kekalahan yang sama juga bermaksud impian Malaysia untuk merebut slot ke Piala Dunia B-17 yang bakal berlangsung di Peru pada 2019 juga terkubur.

“Keputusan dibuat berdasarkan prestasi skuad negara yang tidak melepasi saingan peringkat kumpulan.

“Dato’ Hamidin sudahpun mengarahkan Timbalan Presiden FAM, Dato’ Sri Subahan Kamal memanggil Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Bola Sepak Belia FAM bermesyuarat bersama Pengarah Teknikal FAM, Peter de Roo secepat mungkin untuk membentuk panel pemilihan bagi mencari pengendali baharu skuad B-16 kebangsaan dan cadangan mereka itu akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk diputuskan,” kata kenyataan yang dibuat oleh Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Ramalingam bagaimanapun menjelaskan bahawa Teong Kim tidak pernah mengikat sebarang kontrak dengan FAM, sebaliknya mempunyai perjanjian dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN).

“Kuasa FAM terhad kepada pelantikan ketua jurulatih dan panel penolongnya, tetapi Teong Kim masih mempunyai baki kontrak bersama majikannya. Terpulang kepada KBS untuk menentukan masa depan Teong Kim,” kata Stuart.

FAM turut mengucapkan jutaan terima kasih ke atas sokongan peminat yang hadir ke stadium bagi memberikan sokongan. Skuad kebangsaan yang dibawa ke kejohanan tersebut rata-rata merupakan produk pertama daripada Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) yang berjalan sejak empat tahun lalu.

Turun selaku tuan rumah, Malaysia memulakan langkah kanan di kejohanan ini dalam saingan Kumpulan A apabila mudah meratah Tajikistan 6-2, sebelum dijinakkan oleh skuad muda negara jiran, Thailand 4-2.

Malaysia yang mengumpul sebanyak 3 mata memerlukan sekurang-kurangnya keputusan seri selepas satu lagi perlawanan yang berlangsung sebentar tadi menyaksikan Tajikistan melakukan kejutan menumbangkan Thailand 2-1. Tajikistan pada perlawanan kedua yang berjaya mencuri satu mata ketika beradu dengan Jepun berjaya mara ke pusingan suku akhir selaku naib juara kumpulan, mengiringi Jepun yang berada di tempat pertama selepas mengumpul 7 mata.

Sumber : Facebook FAM

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.