Siakap Keli
Gambar Hiasan

Kerana Minta Hutang, Tiga Lelaki Cedera Dibelasah

BUTTERWORTH, 7 Okt (Bernama) — Tiga lelaki cedera selepas dibelasah sekumpulan lapan lelaki dipercayai bersabit hutang, dalam kejadian di sebuah kedai makan di Jalan Raja Uda, di sini malam semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Noor berkata dalam kejadian 10.15 malam itu, tiga lelaki terbabit yang berusia 20 hingga 28 tahun ke kedai berkenaan untuk berbincang dengan seorang daripada suspek yang sebelum ini meminjam wang daripada mangsa.

“Seorang daripada suspek itu meminjam sejumlah wang daripada mangsa bulan lepas dan sehingga semalam masih gagal membayar balik hutang menyebabkan lelaki berkenaan (mangsa) menghubunginya untuk berbincang,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata ketika perbincangan itu tercetus pertengkaran sebelum suspek bersama beberapa lagi bertindak menyerang mangsa dan dua rakannya menggunakan kerusi dan parang.

Noorzainy berkata ketiga-tiga mangsa yang mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan akibat dipukul dan ditetak oleh lapan suspek terbabit dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk mendapatkan rawatan.

“Mangsa yang dirawat di HSJ itu adalah lelaki yang memberikan pinjaman kepada suspek dan dia mengalami kecederaan bawah lutut kanan dan lengan kiri akibat ditetak serta patah kaki kanak serta patah pergelangan kiri. Dua rakannya cedera lebam dan luka di kepala serta tangan,” katanya. Katanya polis telah mengenal pasti kelapan-lapan suspek berusia 20 hingga 35 tahun terbabit dan usaha mengesan mereka sedang dijalankan.

Mengulas perkembangan lain, Noorzainy berkata seorang lelaki yang mengalami kecederaan parah ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di tepi jalan di Taman Dedap, Mak Mandin di sini kira-kira 3 pagi tadi. Katanya mangsa yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri ditemui dengan beberapa kesan tetakan pada lengan kanan dan luka di bahagian hidung serta mata kiri.

“Mangsa telah dihantar ke HSJ dan setakat ini belum sedarkan diri,” katanya sambil meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki terbabit agar menghubungi balai polis berdekatan.

Sumber : BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.