Siakap Keli
Gambar : Mirror.UK

Kejam, Bapa Tergamak Perkosa Anak Baru Lahir, Patahkan Rusuk Dan Kakinya, Dipenjara 240 Tahun

Tidak layak digelar bapa. Seorang lelaki durjana tergamak merogol bayi perempuannya yang baru lahir dan mengasari tubuhnya dengan kuat sehingga bayi malang itu patah tulang rusuk dan kaki, kini dijatuhkan hukuman penjara selama 240 tahun.

Lelaki tersebut, Patricio Medina, 27, dikatakan sedang khayal dadah jenis syabu di rumahnya ketika dia melakukan serangan seksual terhadap anaknya yang berusia satu bulan itu.

Mahkamah mendengar, bapa durjana itu menekan tulang rusuk bayi berkenaan, menggoncang serta menghempaskan badan bayi itu pada badannya sendiri dengan kejam sehingga bayi itu patah kaki dan tulang rusuk.

Medina yang mengakui perbuatan kejinya itu kepada seorang banduan di penjara sebelum perbicaraannya, kemudian menafikan semua pertuduhan ke atasnya iaitu melakukan serangan seksual yang teruk terhadap kanak-kanak yang berusia kurang dari enam tahun, dua pertuduhan mencederakan dan dua lagi tuduhan membahayakan kanak-kanak.

Tetapi pada Khamis lalu, dia telah disabitkan bersalah ke atas ketiga-tiga kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara 80 tahun di Texas, Amerika Syarikat bagi setiap kesalahannya itu.

Mahkamah mendengar, pihak polis pada mulanya dipanggil ke rumah Medina di Waco, Texas, pada Mac 2014 selepas mendapat laporan salah laku terhadap bayi yang baru dilahirkan dan mereka mendapati Medina sedang khayal dadah dan menahannya.

Pendakwa, Gabrielle Massey, memberitahu hakim:

“Apa lagi jenayah lebih teruk boleh dilakukan bagi seseorang yang sepatutnya menyayangi dan melindungi sebuah kehidupan yang dibawanya ke dunia ini, tetapi sebaliknya, dia merosakkan tubuh anak berkenaan untuk memenuhi nafsu seksual yang ‘sakit’.

“Apa yang diperlukan bagi semua bayi ialah kasih sayang dan keselamatan. Lelaki yang sepatutnya memberikan perkara itu sebaliknya telah mengajarnya satu kengerian di dunia ini.

“Syukur dia tidak membunuh tubuh kecil ini, tetapi dia telah membunuh jiwanya.”

Medina juga didenda sebanyak AS$10,000 (RM41,575),akan dipenjara sekurang-kurangnya 80 tahun sebelum dia layak diberi parol.

Sementra itu, ibu kepada bayi itu, Lisa Montoya, juga turut didakwa kerana mengabai dan membahayakan kanak-kanak.

Ibu bayi berkenaan, Lisa Montoya – Mirror.UK

Afidavit menyatakan dia meletakkan nyawa kanak-kanak itu dalam bahaya kematian, kecederaan tubuh atau kecacatan fizikal atau mental dengan tidak melaporkan penderaan tersebut kepada pihak berkuasa.

Kini, kanak-kanak itu yang telah berusia empat tahun, dikatakan dalam keadaan baik di bawah jagaan keluarga yang mengambilnya dan dua adik beradiknya sebagai anak angkat, lapor Mail Online.

Sumber : Mirror UK

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.