Siakap Keli

“Tiba-Tiba Muka Rasa Berat”,Jururawat Dalam Pantang Cedera Kena Peluru Sesat

Sebuah portal berita tempatan berbahasa Melayu sebentar tadi melaporkan seorang jururawat cedera pada bahagian muka selepas terkena peluru sesat yang didakwa dilepaskan daripada sebuah lapang sasar menembak milik balai polis berdekatan, dalam kejadian yang berlaku di Pendang.

Mangsa yang berusia 29 tahun yang masih berpantang selepas melahirkan cahaya mata kira-kira tiga minggu lalu ketika kejadian dilaporkan sedang berbaring di ruang tamu bersama-sama dengan anaknya yang baru sahaja berusia 15 hari.

Dia mengalami kecederaan pada bahagian pangkal hidung sehingga kelopak mata kiri akibat peluru yang jatuh menembusi bumbung zink rumahnya di Kampung Bukit Jambul dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1.30 petang.

Difahamkan, kedudukan rumahnya terletak kira-kira 500 meter daripada lapang sasar menembak berkenaan.

Menceritakan kejadian, mangsa memberitahu terkejut apabila merasa seperti ada objek berat yang menimpa bahagian mukanya dan bangun sebelum mendapati mukanya berlumuran darah.

Dia kemudian bertindak memeriksa keadaan anaknya dan bersyukur kerana tiada apa-apa yang berlaku pada bayinya itu. Mangsa kemudian menjerit memanggil ibunya untuk meminta pertolongan.

Ibunya kemudian mengambil ais dan meletakkan pada bahagian muka mangsa disebabkan darah keluar dengan banyak. Dia kemudian dikejarkan ke Klinik Kesihatan Pendang dengan menggunakan ambulans Jabatan Pertahanan Awam seterusnya dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan lanjut.

Pihak hospital mengesahkan bahawa peluru berkenaan tidak menembusi bahagian mukanya sebaliknya terkena pada bahagian sipi dari kelopak mata sehingga pangkal hidung sepanjang kira-kira 4 sentimeter.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.