Siakap Keli

(Video) Seperti Seekor Penyu, Pulau ‘Bumbung Zink’ Ini Mungkin Pulau Paling Padat Di Dunia

Pulau berbatu dan dikelilingi dengan bumbung zink, sekali tengok saling tak tumpah seperti seekor penyu yang sedang berlayar di lautan. Itulah Pulau Migingo yang terletak di Tasik Victoria yang dihuni lebih 500 orang penduduk.

Pulau ini tidaklah sebesar mana. Saiznya kira-kira setengah padang bola sepak. Namun pulau ini mungkin menjadi kawasan berpenghuni yang paling padat di dunia. Tiada langsung kawasan lapang, setidak-tidaknya untuk kanak-kanak bermain. Selain rumah-rumah untuk komuniti tersebut, kemudahan lain yang ada hanyalah rumah pelacuran, kelab malam dan jeti kecil.

Lebih teruk, pulau ini menjadi rebutan dua negara Afrika, iaitu Uganda dan Kenya yang mana sehingga kini masih berbalah dan tidak dapat menentukan siapa ‘tuan’ di atas tanah sekankang kera itu. Dunia menganggap, persengkataan ini sebagai Perang Kecil Afrika.

Ketika komuniti yang menetap di sekitar Tasik Victoria dan bekerja sebagai nelayan mengeluh akibat penurunan hasil tangkapan di tasik itu, penduduk-penduduk di Pulau Migingo pula mungkin bergembira kerana banyak spesis ikan menjadikan kawasan berdekatan pulau tersebut sebagai tempat ‘permainan’.

Populasi kecil

Pada 2009, data menunjukkan penghuni di pulau berkenaan hanyalah sekitar 131 orang. Namun, anggaran terkini menjangkakan populasinya mungkin sudah berkembang mencecah sekitar 500 orang penduduk.

Isaac Buhinza, 22, dari Uganda berpindah ke Pulau Migingo dan menetap di sana untuk bekerja untuk menjadi nelayan. Ujarnya lagi yang tidak pernah ke sekolah, dia mewarisi pekerjaan berkenaan daripada ayahnya sendiri.

‘Saya tidak tahu tanah ini milik siapa (negara). Tetapi saya gembira berada di sini,” katanya yang terpengaruh setelah melihat rakannya sering membuat untung sejak berpindah ke pulau tersebut.

Bagi nelayan seperti Buhinza, tinggal di pulau berkenaan telah menjimatkan kos bahan api selain memberikannya akses lebih luas kepada pembeli-pembeli ikan segar.

Ketegangan bermula

Awal tahun 2000 dimana ketika itu pulau berkenaan hampir tidak berpenghuni, yang kemudian dicetak diatas peta menjadi milik Kenya, kerajaan Uganda mula menghantar pegawai-pegawainya ke sana untuk memungut cukai daripada nelayan dan menawarkan perlindungan daripada lanun.

Kemudiannya, nelayan-nelayan berbangsa Kenya ini telah membuat aduan terhadap kerajaan Kenya terhadap tindak-tanduk oleh kerajaan Uganda ini. Aduan didengar, maka kerajaan Kenya kemudian menghantar angkatan bersenjatanya ke sana bagi mengekang sikap agresif yang ditunjukkan oleh kerajaan Uganda.

Pertembungan antara dua negara berjiran ini hampir mencetuskan pertempuran dan pertumpahan darah sekitar tahun 2009. Bagaimanapun, dua kerajaan ini berdamai dan bersepakat untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menentukan sempadan perairan masing-masing. Ketika itu, mereka cuma bergantung pada sebuah peta lama, bertarikh tahun 1920 sebagai rujukan utama.

Malangnya, tiada hasil yang diperolehi oleh kedua-dua negara daripada jawatan kuasa berkenaan. Ketika ini, Pulau Migingo ditadbir urus secara bersama, satu persetujuan yang ada pasang surutnya.

Kehidupan seharian dan jenayah

Sama ada membiarkan ikan kering di atas batu-batu pulau, menggoreng dan dijual di kafe atau menggangtungnya pada tali dawai, sebenarnya penduduk-penduduk di Pulau Migingo hanya melakukan hal sendiri sahaja.

Namun kadang-kadang, wujud ketegangan dan perkara ini diakui sendiri oleh penduduk di pulau tersebut, Collins Ochieng, nelayan muda yang berpindah ke sana untuk mencari duit.

Menurut polis Kenya, September lalu sengketa hampir meletus semula apabila usaha kerajaan Kenya menaikkan benderanya di situ diganggu pihak tertentu, sebelum ini hanya bendera Uganda sahaja yang dikibarkan di sana.

Ujar polis Kenya lagi, kerajaan Uganda cuba meningkatkan cengkamannya di pulau berkenaan dan mula meronda di kawasan perairan pulau itu dengan menghantar pegawai-pegawai beruniform dan bersenjata.

Bagaimanapun, kerajaan Uganda pantas menafikan dengan memberitahu perkara tersebut sudahpun diselesaikan dengan baik.

”Kami memutuskan tiada bendera akan didirikan di situ,” kata sumber Uganda.

Bagi Boaz Owuor, 28, insiden berkenaan jelas menunjukkan bahawa kerajaan Uganda lebih serius mempertahankan pulau tersebut berbanding Kenya.

Walaupun persetujuan sebelum ini menyebut bahawa pulau berkenaan akan dikawal secara bersama dan menempatkan jumlah anggota sama rata di pulau berkenaan, namun Kenya mendakwa bahawa Uganda melanggarnya dengan menempatkan jumlah anggota yang lebih ramai. Bagaimanapun perkara ini disanggah oleh Uganda.

Aktiviti ekonomi dan habitat ikan

Tasik Victoria merupakan tasik terbesar di benua Afrika. Populasi ikan yang begitu tinggi di tasik berkenaan selama ini menjadi sumber makanan dan pendapatan utama untuk berjuta-juta penduduk di sekitarnya. Namun pengurangan drastik hasil tangkapan membuatkan nasib komuniti berkenaan dalam bahaya.

Dalam tempoh empat dekad sahaja, Tabung Hidupan Liar (WWF) mendapati bahawa sekitar 80 peratus spesis ikan asli tasik berkenaan telahpun lenyap manakala sekitar 70 peratus kawasan hutan di sekitar tasik berkenaan telahpun digondolkan.

Tambah meresahkan apabila di beberapa kawasan tasik, rumpai hijau mula tumbuh dengan cepat, meletakkan nasib-nasib nelayan ini lebih parah.

Dalam satu hal, selain perubahan iklim yang tidak menyebelahi mereka, nelayan Kenya di sekitar Pulau Migingo juga mendakwa sering diganggu oleh tentera-tentera Uganda. Selain tangkapan dirampas, kelengkapan-kelengkapan nelayan mereka juga turut disita, sedangkan mereka mendakwa semua tangkapan dan bot mereka berada di perairan milik Kenya.

Milik siapa pulau ini?

Perbalahan demi perbalahan dan semua tuduhan yang dibuat oleh Kenya tetap dinafikan oleh kerajaan Uganda.

”Kawasan dalam dimana nelayan-nelayan mencari tangkapan berada di wilayah Uganda, manakala kawasan lebih cetek untuk ikan membiak pula berada di kawasan Kenya, jadi kita perlu bekerjasama,” kata kerajaan Uganda.

Menurut Adam Mulabbi, pegawai polis yang bertanggungjawab menyelia pegawai-pegawai di Pulau Migindo menegaskan bahawa kerajaannya cuma mahukan nelayan-nelayan di kawasan sekitar boleh mencari rezeki dengan aman.

Bagaimanapun, bagi penduduk Pulau Migindo yang terdiri daripada rakyat kedua-dua negara, siapa yang memiliki pulau berkenaan tidak penting. Mereka cuma mahu meneruskan hidup sahaja.

[youtube https://www.youtube.com/watch?v=Tt8XIjzUXRQ]

 

Sumber : Dailymail

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.