Siakap Keli

Kerajaan Itali Rancang Hadiahkan Sebidang Tanah Untuk Pasangan Dapat Cahaya Mata Ketiga

Kerajaan populis Itali mengikut laporan Dailymail bercadang untuk menghadiahkan sebidang tanah pertanian yang tidak dinyatakan saiznya kepada mana-mana pasangan yang mendapat cahaya mata ketiga dalam usaha untuk meningkatkan kadar kelahiran di negara berkenaan.

Cadangan berkenaan yang dibuat oleh parti politik sayap kanan dirancang untuk dimaksudkan ke dalam pembentangan bajet pada tahun hadapan. Jika berjaya, rancangan berkenaan bakal memberi keuntungan kepada mana-mana pasangan yang mendapat cahaya mata ketiga dalam tempoh diantara 2019 sehingga 2021.

”Mereka berkata, orang Itali mempunyai sedikit anak, jadi kami perlu melakukan sesuatu untuk mengatasinya,” kata Menteri Pertanian, Gian Marco Centinaio.

Beliau berkata, cadangan berkenaan bakal memberi manfaat terutama kepada penduduk di kawasan luar bandar yang boleh membangunkan tanah berkenaan sebagai tanah pertanian.

Itali ketika ini menjadi negara Eropah dengan kadar kelahiran paling rendah. Tahun lepas, hanya 464 ribu kelahiran baru sahaja dicatatkan, satu rekod rendah bagi Itali. Keadaan ini menyebabkan Itali menjadi sebuah negara tua.

Cadangan untuk memberikan tanah bagi setiap kelahiran anak ketiga turut mendapat sokongan menteri yang juga pro-Kristian Katolik, Lorenzo Fontana.

Bagaimanapun katanya, insentif berkenaan perlu dihadadkan kepada pasangan yang mendaftarkan perkahwinan dan tidak mengambil kira mereka yang tinggal sebumbung mengikut konsep ‘civil union’.

Pemerhati melihat cadangan Lorenzo mungkin sukar dilaksanakan memandangkan undang-undang Itali turut memberikan had kepada pasangan ‘civil union’ yang sama dengan pasangan yang berkahwin secara sah.

Imigran turut berpeluang untuk menerima insentif berkenaan namun hanya dikhaskan kepada mereka yang sudahpun menjadi rakyat Itali sekurang-kurangnya untuk tempoh 10 tahun.

Menurut rekod, kerajaan Itali memiliki tanah pertanian seluas 1.2 juta ekar bernilai RM 48.46 bilion.

Sumber : Dailymail

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.