Siakap Keli
FB : Jiwa Bola Sepak

”Kakitangan Silap Tempah”, MFL Jawab Kritikan Netizen Isu Trofi ‘Kartun’ Anugerah Bola Sepak Kebangsaan

Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2018 yang sepatutnya menjadi malam gemilang buat pemain-pemain bola sepak liga tempatan bertukar menjadi bahan lawak netizen apabila trofi yang diberikan kepada pemenang dikatakan bertaraf ‘anugerah sekolah rendah’, malahan ada yang mendakwa lebih teruk.

Beberapa portal berita turut melaporkan salah satu trofi yang dimenangai oleh pemain JDT, Safawi Rasid patah setelah tamat acara berkenaan.

Susulan kritikan demi kritikan, Malaysia Football League (MFL) melalui satu kemas kini di laman facebooknya menaikkan satu kenyataan permohonan maaf dan menjelaskan isu berkenaan.

FB : Jiwa Bola Sepak

”MFL sangat kecewa dengan trofi yang telah dipersembahkan pada Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2018 yang lepas. Trofi berkenaan tidak memenuhi standard seperti apa yang diharapkan oleh DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Pengerusi MFL dan ianya juga tidak layak diberikan kepada pemenang yang telah memberikan yang terbaik sepanjang musim ini,” kata kenyataan itu.

Badan berkenaan juga menjelaskan bahawa berlaku kesilapan ketika tempahan yang dibuat oleh kakitangannya, namun perkara berkenaan telah disembunyikan daripada pengetahuan pihak pengurusan tertinggi MFL.

”Seperti dilihat dari gambar-gambar yang dilampirkan, MFL sentiasa memberikan trofi yang sesuai dan mengikut standard yang perlu.

”MFL juga telah mengambil inisiatif untuk menghubungi semua pemenang bahawa MFL akan menggantikan trofi ini dengan yang lebih sesuai dengan pencapaian mereka,” katanya kenyataan itu lagi.

Malah, MFL turut menjelaskan bahawa pihaknya telah berusaha sejak sekian lama untuk menjadikan ABK sebuah anugerah berprestij, namun apa yang terjadi telah menghampakan semua pihak.

Sehubungan itu, tindakan telah pun diambil terhadap pihak-pihak yang terlibat dalam insiden memalukan ini.

”Dengan ini, MFL memohon maaf kepada semua pemenang dan juga komuniti bola sepak Malaysia diatas insiden yang tidak mencerminkan matlamat, visi dan piawaian MFL dan Tunku Pengerusi kami yang sangat menekankan standard dan kualiti dalam semua aspek.

”MFL akan lebih baik pada masa hadapan.”

Sumber : Football Malaysia LLP

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.