Siakap Keli
Gambar : FB Noorihsham A Rahim

Cikgu Kagum, Pemuda Tukang Cuci Di Sekolah Rupa-Rupanya Bakal Doktor Lulusan Dari Mesir

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Faktor ekonomi yang tidak menentu dan saingan yang sengit dalam mendapatkan pekerjaan menyebabkan ramai anak muda berkelulusan tinggi menganggur setelah tamat belajar. Ada juga yang memilih pekerjaan kerana tidak setaraf dengan kelulusan atau tidak menepati dengan kursus yang diambil. Namun tidak salah mencuba sesuatu kerja asalkan mendapat rezeki yang halal dan pengalaman dalam hidup.

Mungkin kisah ini mampu membuka mata anak muda di luar sana agar tidak memilih pekerjaan. Bukan calang-calang, seorang pemuda graduan kedoktoran dari Mesir ini sanggup melakukan apa sahaja pekerjaan termasuklah menjadi pekerja pembersihan di sekolah asalkan rezeki yang diterima halal.

Seorang guru, Noorihsham A Rahim tampil menceritakan kisah ini. Disangka anak muda itu hanya tukang cuci biasa di sekolahnya, rupa-rupanya tanpa disangka-sangka dia ialah seorang doktor yang bakal berkhidmat untuk negara. Memang respect!

TABIK HORMAT!

Pemuda ini masuk bekerja sebagai Pekerja Pembersihan Swasta di sekolah saya. Orangnya tidak banyak bicara dan tekun melaksanakan tugasnya.

Gambar : Noorihsham A Rahim

Kelmarin, dia ingin berjumpa dengan saya. Bermacam-macam perkara yang terlintas dalam pemikiran saya… Pelik!

“Cikgu, saya nak minta tolong!” Katanya penuh tertib.

“Kenapa?” Saya bertanya sambil memerhatikannya.

Dia tersenyum penuh keikhlasan. Makin pelik!

“Cikgu, saya nak minta tolong untuk cikgu jadi saksi sebagai kakitangan kerajaan.” Katanya sambil tersenyum.

“Aduhai, Apa pulak ni!” Getus hati. Saya tenung wajahnya. Tiada sebarang kejanggalan. Pelik! Pelik!

Gambar : Noorihsham A Rahim

Saya semakin berperang dengan perasaan, antara lojik dan andaian. Dia menyua satu borang. Saya ambil, baca & merenung dia kembali! Saya kagum!

Secara spontan saya bertanya kepada dia, “kenapa kerja di sini?”

Dia menjawab dengan senyuman, “cari duit, cikgu. Duduk rumah pun bukan dapat apa-apa.”

“Dah berapa lama tak dapat kerja dengan kerajaan ni?” Tanya saya penuh kekaguman.

“Dah setahun lebih. Saya buat dulu kerja-kerja lain dan macam-macam kerja,” katanya.

Saya menandatangan pada ruangan yang diperlukan tanpa rasa curiga. Saya berjabat tangan dengannya. “SELAMAT UNTUK SEMUANYA!” Ucap saya penuh ikhlas. Terasa saya ingin berikan satu tabik hormat kepadanya serta mereka yang bersikap sepertinya.

INGATLAH! DALAM KESUSAHAN PASTI ADA JALAN, DALAM UJIAN PASTI ADA PENYELESAIAN. SATU KESILAPAN BESAR JIKA KITA MERATAPI TAKDIR & APATAH LAGI MENYALAHKANNYA. JANGANLAH JUGA BERSIKAP SEBAGAI SEORANG PENGHUKUM.

KERANA KITA SENDIRI TIDAK PASTI ADAKAH KITA TELAH BENAR-BENAR MELETAKKAN SESUATU YANG HAK ITU PADA TEMPATNYA!

Siapa pemuda itu tadi?

BELIAU BAKAL SEORANG DOKTOR YANG BARU MENERIMA SURAT PANGGILAN UNTUK BERTUGAS DI SALAH SEBUAH HOSPITAL KERAJAAN.

BELIAU MERUPAKAN SEORANG GRADUAN DRP MESIR.

Tuan-tuan & Puan-puan Yang dimuliakan,

Terima kasih atas segala respons terhadap pos Facebook saya ini. Kisah ini hanyalah satu kisah kecil yang berlaku dalam ruang lingkup kehidupan kita. Mungkin banyak lagi kisah-kisah hebat yang boleh dijadikan panduan.

Sejujurnya, perkara pertama yang terlintas dalam pemikiran saya? Saya melihat kita dahagakan sesuatu yang boleh dijadikan sumber inspirasi.

Percayalah… Adakalanya sesuatu perkara yang kita anggap kecil tetapi mungkin memberi impak yang besar kepada orang lain.

Semua orang boleh dan mampu memberi hujah dan pendapat masing-masing. Namun, biarlah disantuni dengan adab.

Kalau ingin belajar mandi,
Pertama teluk, kedua pantai;
Jika ingin diri menjadi,
Pertama elok, kedua pandai.

Maafkan saya jika ada kata-kata yang menyinggung hati mana-mana pihak. Tiada sekelumit pun niat untuk berbuat demikian. Terima kasih.

Sumber : Noorihsham A Rahim

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.