Siakap Keli

Ada Sistem Yang Lebih Mudah, PSM Dakwa FAM Enggan Beri Kerjasama Dalam Urusan Penjualan Tiket Piala AFF

Menjelang perlawanan akhir peringkat Kumpulan A Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Bukit Jalil mempertemukan pasukan kebangsaan dengan Myanmar, isu-isu membabitkan tiket masih lagi kedengaran.

Ulat tiket, peminat sukar untuk mengakses sistem jualan atas talian dan cara menebus tiket tetap menjadi cakap-cakap yang tidak sedap didengar. Sama ada pihak yang terlibat tidak mengambil pengajaran ataupun tidak kisah dengan sistem sedia ada, tiada sesiapa pun yang tahu.

Bagaimanapun, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) melalui satu kemas kini di laman facebook mereka menjelaskan beberapa perkara yang boleh menjawab beberapa pertanyaan antaranya yang dibangkitkan di atas.

PSM menjelaskan bahawa urusan tiket di Stadium Bukit Jalil, KL Sports City adalah dibawah pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melalui syarikat yang dilantik oleh badan bola sepak negara tersebut.

”Syarikat yang digunakan oleh FAM untuk pengurusan tiket tersebut bukan merupakan syarikat tiket yang dilantik oleh PSM iaitu Seat Advisor melalui laman web myticket.asia sepertimana kebiasaan bagi acara-acara bertiket lain yang diadakan di KL Sports City,” kata kenyataan tersebut.

Selain itu, PSM turut menjelaskan beberapa kelebihan yang ditawarkan oleh syarikat yang mengendalikan urusan penjualan tiket hasil lantikan perbadanan tersebut.

Katanya, penyokong bola sepak lebih mudah untuk masuk ke stadium kerana tiket disemak menggunakan teknik imbasan berbanding cara mengoyak tiket. Seterusnya, sistem yang digunakan oleh Seat Advisor juga mampu mengesan tiket palsu kerana setiap tiket yang dijual mempunyai bar kod yang boleh disemak.

Malah, peminat-peminat bola sepak juga tidak perlu beratur di stadium untuk menebus tiket kerana barkod yang ada boleh diimbas menggunakan peranti mudah alih selain tiket bercetak boleh dijual lebih awal kerana kaunter tiket di KL Sports City dibuka setiap hari.

”Penggunaan sistem tiket berteknologi tinggi ini telah digunapakai dan disyorkan oleh PSM kepada semua penganjur-penganjur acara semenjak KL Sports City mula beroperasi semula semasa Temasya Sukan SEA 2017. Usaha ini telah mendapat sambutan baik pelbagai penganjur dan pengunjung acara,” kata kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu, PSM menyatakan kekesalan diatas kengganan FAM untuk memberi kerjasama dan kesulitan yang dihadapi peminat.

”PSM berasa kesal atas kesulitan yang dihadapi oleh peminat bola sepak Malaysia atas keengganan FAM untuk bekerjasama dengan PSM untuk urusan sistem tiket bagi perlawanan AFF ini.”

Sumber : Perbadanan Stadium Malaysia

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.