Siakap Keli
Gambar Hiasan

Bekas Tentera Dipenjara 18 Tahun, 15 Sebatan Akibat Sumbang Mahram

JOHOR BAHRU, 27 Nov (Bernama) – Seorang bekas tentera dijatuhi hukuman 18 tahun penjara dengan 15 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan melakukan sumbang mahram dan meliwat anak perempuan kandungnya dua tahun lepas (2016).

Hakim Jailani Rahman kemudiannya menetapkan hukuman 18 tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan pertama dan hukuman enam tahun dan lima sebatan bagi pertuduhan kedua, yang mana diarahkan berjalan serentak bermula tarikh sabitan.

Mengikut kertas pertuduhan, bapa kepada empat anak itu didakwa melakukan persetubuhan tanpa kerelaan anaknya dengan memasukkan kemaluannya ke kemaluan mangsa di rumah sewa tertuduh di Taman Pelangi Indah, Johor Bahru, pada pukul 2 pagi, 15 Mac 2016.​​​​​​​

Tertuduh yang berusia 44 tahun itu turut mengacukan pedang samurai di leher mangsa supaya mangsa, ketika itu berusia 17 tahun, tidak melawan dan mengikut kemahuan tertuduh.

Bagi kesalahan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 30 tahun.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa meliwat mangsa, yang menghidapi penyakit epilepsy atau sawan, dan dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan dihukum sebat.​​​​​​​

Hakim juga menetapkan jaminan RM12,000 ke atas tertuduh sementara menunggu rayuan kes.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Asmah Zainal Ariffin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh mengambil kira faktor kesan trauma mangsa merupakan anak kandung yang seharusnya dilindungi tertuduh.

Sumber : BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.