Siakap Keli

”Bro, Kita Kawan Kan”, Lelaki Kongsi Kisah Hidup Berjiran Dengan Sahabat Berbeza Kaum

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Insiden kekecohan yang berlaku baru-baru ini di Kuil Sri Maha Mariamman menyaksikan ada segelintir pihak memberi komen-komen yang sedikit sebanyak telah menyinggung perasaan antara dua kaum, terutamanya antara kaum Melayu dengan kaum India.

Bagaiamanpun, kisah yang dikongsikan oleh seorang pengguna facebook ini sepatutnya dijadikan sebagai satu iktibar kerana dalam kekeceohan yang berlaku, ia sebenarnya bersifat terpencil dan masih ramai daripada kita kekal rasional.

Yelah, kita pun tak mahu, kehidupan yang harmoni antara kaum yang sudah kita pertahan sejak sekian lama hancur dek kerana perbuatan sekelompok manusia je kan.

Jom baca perkongsian pengguna facebook berkenaan di bawah.

Pagi ni nak keluar rumah, aku terserempak dengan jiran aku seorang lelaki berbangsa India. Ya, kami ada anak yang sebaya, jadi hubungan kami agak mesra. Isteri dia juga selalu menyapa Hannah setiap kali terserempak. Cuma pagi ni, suasana sedikit lain. Agak janggal. Aku nampak dia diam sewaktu keluar rumah. Jadi aku seraya menyapa dengan soalan-soalan biasa.

“Dave, dah lambat ni, jalan jem nanti. Hati-hati driving tu,” sapa aku cuba memecah keheningan pagi.

Dia senyum kelat. Dari raut wajah dia aku nampak. Aku tak nak berfikir maka terus memakai selipar. Tiba-tiba Dave menghampiri aku.

“Bang. Saya takde terlibat dengan rusuhan di kuil belakang tu. Saya pun tak setuju diorang buat macam tu. Sampai ada anggota bomba Melayu yang cedera,” ujar Dave berdiri di belakang aku tanpa seurat senyuman diwajahnya.

Jujurnya aku terkejut. Sebab aku tak pernah terfikir untuk libatkan isu itu dengan semua kaum India yang aku kenali.

“Eh bro. Come on. Aku faham. Kita kawan kan?,” ujar aku lantas memeluk Dave.

Kuat jugak dia peluk aku. Ada juga kami saling bantu membantu. Hannah memandang situasi itu dengan wajah keliru. Kemudian isterinya keluar rumah dengan anaknya yang sebaya Hannah. Dan Hannah lantas salam isteri Dave dan bergurau senda.

”Bro. Kita kawan kan? Aku sangat hormati keluarga kau. Isu di kuil tu, aku tak nak benda tu jejaskan hubungan kita sebagai kawan dan jiran. Anak aku kena membesar, anak aku kena belajar menghormati kepelbagaian kaum.

”Dia akan sambung hubungan yang baik ni dengan semua orang. Tak kira bangsa dan agama. Aku bukan patriotik sangat Dave. Tapi aku yakin dalam hati setiap orang kebaikan lebih banyak daripada kejahatan.

”Yang merosakkan benda ni segelintir kecil pentaksub-pentaksub yang gagal memahami kepelbagaian kaum ni. Dan puncanya ialah media yang jadi batu api, dan ada individu yang inginkan keuntungan. Kau dan aku, kita takde pape. Kita kawan kan?,” ujar aku memeluk dan menepuk belakangnya lagi.

Kali ni aku nampak air mata isteri dia bertakung. Aku cuma hairan kenapa dia rasa benda ni serius sangat.

“Masa anak saya demam dan sawan haritu. Abang tanpa rasa pelik datang masuk dan bantu saya. Saya dah takut. Itulah pertama kali orang Melayu Islam masuk rumah saya. Saya betul-betul rasa besar hati. Bila saya baca berita, saya jadi risau abang akan fikir saya ada kat kuil tu dan buat hal disitu. Tapi saya tak pergi pun bang. Saya tak lalu pun situ,” ujar dave lagi.

“Aku mintak maaf sebab buat ko rasa janggal. Tapi serius aku ok. Isu ni bukan isu Hindu dan Islam. Bukan isu India dan Melayu. Ini isu pentaksub dan media yang mencanang soal agama dan perkauman agar jadi panas. Dan pentaksub sahaja yang jadi ganas. Kita kawan Dave,” ujar aku lagi.

Aku tak sangka. Rupanya kes kuil tu beri impak juga pada sebahagian orang. Tak jauh pun kuil tu berdekatan rumah aku. Malam pertama kejadian tu memang kawan aku kena tahan sewaktu lalu situ jam 3 pagi. Ada orang India tahan bukan nak pukul. Tapi diorang bagitahu ada Melayu masuk kuil jam 3 pagi ramai-ramai.

Aku pelik, dengan beberapa amaun Ringgit Malaysia Melayu tu sanggup timbulkan ketegangan macam tu. Ko tahu tak? Kesan tu beri impak pada ramai orang dalam masyarakat? Dan setiap orang tu ada anak dan zuriat. Sampai bila isu ni nak selesai?

Selepas media berjaya buat propaganda ICERD. Sekarang isu kuil pulak?

Bukan polis lambat bertindak. Tapi Ahli Parlimen yang lembab bertindak.

“Kamu dengan kepercayaan agama kamu, dan aku dengan kepercayaan agama aku” ( Surah Al-Kafirun)

Dan agama Islam mengajarkan ukhwah untuk dijaga bukan dipecahbelahkan. So harini aku kena peluk lebih ramai orang India untuk bagitau diorang kita kawan.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.