Siakap Keli
BERNAMA

Dr. Mahathir Doa Perhimpunan ICERD Berjalan Lancar

KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) – Tun Dr Mahathir Mohamad mendoakan perhimpunan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskrimininasi Kaum (ICERD) di ibu negara esok berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

Perdana Menteri menegaskan kerajaan tidak berhasrat untuk menghalang penganjur perhimpunan tersebut kerana ia bertentangan dengan dasar kerajaan yang mendokong prinisp-prinsip demokrasi.

“Saya berdoa agar perhimpunan itu berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan. Marilah kita sama-sama meraikan demokrasi di Malaysia,” katanya menerusi sebuah video yang dimuat naik di laman Twitternya, hari ini.

Beliau berkata walaupun kerajaan Pakatan Harapan (PH) menyatakan tidak akan meratifikasikan ICERD namun beliau dimaklumkan beberapa pihak menyatakan ia akan diteruskan sebagai tanda kesyukuran terhadap keputusan kerajaan itu.

“Saya tidak nampak perlunya perhimpunan itu perlu diteruskan, “ katanya.

Bagaimanapun, Dr Mahathir mengucapkan terima kasih atas sokongan yang ditunjukkan pihak penganjur jika perhimpunan tersebut diadakan atas rasa kesyukuran.

Justeru, beliau meminta penganjur membantu polis dan pihak berkuasa tempatan supaya memastikan tidak berlaku sebarang kekacauan atau kerosakan terhadap harta benda awam semasa perhimpunan tersebut.

Selain itu, perdana menteri meminta penganjur supaya menjaga kebersihan di sepanjang laluan perhimpunan serta tidak membuang sampah ​​​​​​ di merata-rata tempat.

Isnin lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meluluskan perhimpunan kesyukuran ICERD itu.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, dilaporkan berkata melalui kelulusan itu, pihak penganjur dibenarkan berhimpun di Jalan Raja di antara Dataran Merdeka dan Bangunan Sultan Abdul Samad bermula jam 2 hingga 6 petang.

Pada 23 Nov lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, kerajaan tidak akan meratifikasi ICERD dan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang termaktub kontrak sosial dipersetujui wakil semua kaum ketika pembentukan negara ini.

Sumber : BERNAMA​​​​​​​

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.