Siakap Keli

(Video) ”Macam Kiamat Semua Berterbangan, Kami Pasrah Jika Mati” Puting Beliung Landa Bogor, Ragut Nyawa Musnahkan Ratusan Rumah

Bogor berduka. Puting beliung yang mengganas di bandar berkenaan di Jawa Barat pada Khamis petang telah meragut satu nyawa, menyebabkan puluhan pokok tumbang dan ratusan kediaman rosak.

Kejadian yang berlaku pada pukul 3 petang waktu tempatan itu meragut nyawa seorang wanita, Enny Retno, 45, selepas pokok yang tumbang menghempap keretanya ketika dia sedang memandu.

Jurucakap polis Bogor, Fajar Hari Kuncoro berkata, hujan lebat beserta angin puting beliung itu menyebabkan banyak kerosakan di dua daerah.

‘Dua kawasan dilanda puting beliung iaitu daerah Bogor Selatan dan daerah Bogor Timur di mana satu orang meninggal dunia, 20 pokok tumbang, lima kenderaan rosak dan 848 kediaman musnah,” katanya.

Berdasarkan laporan pegawai cuaca tempatan, ribut yang kuat dan tiupan angin itu disebabkan oleh aktiviti awan ‘komulonimbus’ ditambah dengan kemuncak musim hujan yang kini sedang melanda Bogor.

Menurut penduduk tempatan, puting beliung yang melanda daerah mereka sangat dasyat di mana semua orang berada dalam ketakutan dan hanya pasrah dengan segala yang berlaku.

Saksi, Erni Sabariah, 42, berkata, puting beliung yang kelihatan terbentuk dari arah Gunung Salak ditambah dengan angin ribut itu menyebabkan semua penduduk melarikan diri ke dalam rumah.

”Angin itu kelihatan dari jauh pada jam 3 petang, saya sangka tidak sampai ke sini tapi kira-kira jam 3.30 puting beliung itu tiba ke kawasan kami dan berhenti jam 4 petang tapi sudah memusnahkan semuanya.

”Saya di rumah seperti kiamat, semua berterbangan, saya hanya mampu pasrah jika mati. Sekiranya umur tak panjang saya sudah pasrah. Anak pula menangis dan suami berada di luar kerja,” katanya.

Adriansyah, seoarang lagi saksi berkata, saat puting beliung melanda mereka berada dalam kebingungan. Takut berada dalam rumah yang hampir musnah, jika berlari ke luar pula boleh diterbangkan puting beliung.

Namun, dia mengambil keputusan untuk menyelamatkan diri dengan keluar dari rumah sambil membawa anaknya bersama penduduk yang lain ke Stesen Keretapi Batutulis yang turut mengalami kerosakan teruk.

”Memang keadaan ketika itu seperti kiamat. Saya berlari bersama anak dan  terjatuh kerana dipukul angin yang terlalu kuat namun mujurlah kami selamat,’‘ katanya.

Video dan gambar yang dimuat naik oleh netizen di laman media sosial menunjukkan keadaan ketika itu di mana pelbagai objek yang terbang dan bangunan yang mengalami kemusnahan teruk akibat bencana ini.

Sumber : CNA, Tribunnews, detiknews

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.