Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Puting Beliung ‘Mengganas’ Di Perancis, 41 Orang Cedera

Puting Beliung
Kredit: RT

Seramai 41 orang cedera dalam kejadian puting beliung yang melanda sebuah perkampungan di barat daya Perancis pada Isnin.

Memetik laporan AFP, bencana itu juga menyebabkan ratusan rumah mengalami kerosakan.

Manakala, banyak lokasi turut mengalami gangguan bekalan elektrik dan masalah pengangkutan.

Pihak berkuasa Perancis sebelum itu meletakkan beberapa kawasan di barat daya negara berkenaan di bawah amaran jingga susulan ribut.

Kredit: AFP

Di wilayah Aude, pegawai membatalkan peringkat ketiga perlumbaan basikal Vuelta a Espana yang berlangsung di kawasan itu selepas ribut hujan batu memaksa para pelumba mencari perlindungan.

Menurut pihak berkuasa, puting beliung itu paling teruk melanda kampung Pomas yang mempunyai kira-kira 1,000 penduduk, dengan anggaran 300 rumah rosak termasuk ada yang bumbungnya tercabut.

Susulan itu, lebih 120 anggota kecemasan dikerahkan ke lokasi kejadian.

Kredit: AFP

Seramai 15 mangsa yang cedera pula dibawa ke hospital.

Dalam pada itu, perkhidmatan cuaca kebangsaan Perancis, Meteo-France, memaklumkan kelajuan angin mencecah sehingga 117 kilometer sejam di kampung Arquettes-en-Val yang terletak berhampiran.

Kredit: AFP

Menteri Pengangkutan, Philippe Tabarot berkata ribut yang melanda selatan Perancis turut menjejaskan rangkaian pengangkutan, menyebabkan kelewatan perjalanan kereta api, penutupan jalan serta kelewatan dan pembatalan penerbangan di lapangan terbang Bordeaux, Marseille, Nice, Toulouse, malah sehingga Paris di utara.

Kredit: AFP

Untuk pengetahuan, Perancis secara purata mengalami puluhan kejadian puting beliung setiap tahun.

Bagaimanapun, kesan pemanasan global terhadap kekerapan dan tahap kekuatan puting beliung masih belum dapat dipastikan.

Intipati
  • Puting beliung di barat daya Perancis mencederakan 41 orang pada Isnin.
  • Kira-kira 300 rumah di kampung Pomas rosak, termasuk bumbung tercabut.
  • Ribut turut menjejaskan bekalan elektrik, pengangkutan, jalan raya, kereta api dan penerbangan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan