Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Banjir Besar, Puting Beliung Ragut Lebih 17 Nyawa Di China

puting beliung china
Gambar: Video tular via X

Banjir Besar, Puting Beliung Ragut Lebih 17 Nyawa Di China

Sekurang-kurangnya 17 orang maut manakala ratusan lagi cedera selepas Taufan Maysak mencetuskan banjir besar dan kejadian puting beliung yang jarang berlaku di beberapa wilayah di China.

Bencana itu turut memaksa puluhan ribu penduduk dipindahkan, manakala ramai lagi masih terperangkap di kawasan yang dinaiki air.

Hujan lebat mula melanda Kampung Renhe di wilayah Guangxi pada Ahad sebelum paras air meningkat secara mendadak dalam tempoh beberapa jam.

Menjelang awal pagi Isnin, air banjir sudah mencecah paras lutut sebelum menenggelamkan tingkat bawah rumah penduduk ketika waktu subuh.

Lapor BBC, puluhan ribu penduduk Guangxi yang kehilangan tempat tinggal selepas taufan itu melanda kawasan berkenaan pada hujung minggu lalu. Bencana itu menyebabkan sungai melimpah dan benteng empangan pecah.

Di Guangxi sahaja, sekurang-kurangnya empat kematian dilaporkan. Manakala, bandar Nanning serta beberapa kampung di sekitarnya ditenggelami banjir sehingga ada penduduk terpaksa menunggu bantuan di atas bumbung rumah.

60,000 penduduk dipindahkan, 90,000 penduduk terjejas

Menurut media kerajaan China, sekurang-kurangnya 60,000 penduduk telah dipindahkan, manakala lebih 90,000 orang terjejas akibat bencana itu.

Pada masa sama, Taufan Maysak turut mencetuskan ribut petir dan sekurang-kurangnya dua puting beliung di wilayah Hubei, yang terletak ratusan kilometer dari Guangxi.

Kejadian luar biasa itu mengorbankan sekurang-kurangnya 17 orang, mencederakan ratusan lagi serta memaksa lebih ramai penduduk dipindahkan.

Pakar meteorologi menjelaskan puting beliung terbentuk akibat pertembungan udara sejuk dari utara dengan udara panas yang dibawa oleh Taufan Maysak dari selatan.

Fenomena puting beliung jarang berlaku di wilayah berkenaan, dengan kejadian terakhir direkodkan pada 2021.

Rakaman yang tular di media sosial China menunjukkan angin kencang menerbangkan meja, kerusi dan serpihan bangunan di bandar Ezhou dan Huanggang.

Tingkap rumah pecah, lelaki tercampak keluar dari pangsapuri

Media tempatan turut melaporkan seorang lelaki di Huanggang tercampak keluar dari pangsapuri tingkat tinggi selepas tingkap rumahnya pecah akibat angin kencang.

Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat 12 bersama perabot yang diterbangkan angin dan kini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi.

Ribuan penduduk masih terperangkap atas bumbung rumah, kawasan tanah tinggi

Situasi di Guangxi pula semakin membimbangkan apabila ribuan penduduk masih terperangkap di atas bumbung rumah dan kawasan tanah tinggi. Difahamkan, hal ini kerana jumlah anggota penyelamat yang tidak mencukupi.

Seorang penduduk, Huang dari bandar Yunbiao, berkata banjir menenggelamkan kampungnya dalam tempoh kira-kira 10 minit.

"Kami tidak sempat menyelamatkan semua orang. Anggota penyelamat terlalu sedikit dan bot yang dibawa juga kecil serta tidak mampu bergerak jauh," katanya.

Beliau turut memaklumkan kebanyakan penduduk kini terputus hubungan dengan ahli keluarga kerana bekalan elektrik, internet dan rangkaian komunikasi terjejas.

Ular juga jadi ancaman

Selain banjir, penduduk turut berdepan ancaman ular yang dibawa arus deras, termasuk ular dari ladang ternakan yang terlepas akibat kawasan ternakan ditenggelami air.

Media kerajaan melaporkan beberapa spesies ular diternak di China untuk kegunaan perubatan tradisional, makanan dan penghasilan antibisa.

Presiden China, Xi Jinping mengarahkan semua agensi berkaitan melaksanakan operasi menyelamat dan bantuan secara menyeluruh. Ini termasuk memberi rawatan kepada mangsa, menempatkan semula penduduk terjejas serta memperkukuh usaha pengurusan bencana.

Super Taufan Bavi dijangka 'tiba'

Sementara itu, sebuah lagi ribut tropika, Super Taufan Bavi, kini sedang bergerak merentasi Lautan Pasifik dan dijangka melanda pantai timur China pada minggu ini.

Pihak berkuasa turut memberi amaran hujan yang lebih lebat berpotensi mengganggu operasi menyelamat.

Dalam perkembangan lain, beberapa kawasan di utara China turut dilanda cuaca ekstrem sejak beberapa hari lalu.

Banjir kilat di bandar Tongliao, wilayah Mongolia Dalam mengorbankan dua penternak lembu, manakala hujan paling lebat dalam sejarah di bandar Fushun meragut tiga lagi nyawa.

Sumber:BBC