Siakap Keli

”Tidur Berbantal Lengan Tapi Tak Pernah Dia Merungut Kesusahan,” Sebak, Kisah Sedih Kanak-Kanak 10 Tahun

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Tatkala anak seusianya sedang riang melayari zaman kanak-kanak, dia sudah berdepan dengan erti kesusahan hidup. Dari usia kecil, dia sudah terbiasa tidur dalam kereta tanpa rumah, mengharungi kesukaran hidup keluarga. Kanak-kanak ini yang kini berusia 10 tahun gigih membantu ibu bapanya mencari rezeki walau masih bersekolah.

Peribadi mulianya membuatkan guru ini tersentuh setiap kali bertemu dengan keluarganya yang sudah dibantu sekian lama. Namun, kanak-kanak ini ditimpa musibah kemlanagan jalan raya hingga berlaku pendarahan dalam kepala. Ikuti luahan Cikgu Fadli Salleh seperti di bawah. Moga anak yang cekal ini diberikan kesembuhan untuk berbakti kepada keluarganya. Sebak!

Mohon sahabat-sahabat semua doakan…

Anak ini, setiap kali aku ke rumahnya, berlari-lari dia mendapatkan aku. Menghulur tangan untuk bersalaman lantas mengucup tanganku.

Anak ini, setiap malam membantu ibu dan ayahnya menjual kerepek di Kolam Air Panas Selayang. Umurnya baru 10 tahun. Tapi keperitan hidup itu dia mengerti.

Tidak pernah dia berkeluh kesah walau berbulan-bulan tidur dalam kereta. Tidak pernah dia merungut kesusahan bila tidurnya hanya berbantalkan lengan sahaja.

Berselimutkan dingin yang sejuk, dihurungi nyamuk yang banyak dan berbumbungkan langit yang gelap.

Anak ini, acapkali aku ziarahi. Dari dia tinggal di dalam kereta tanpa rumah, sehingga pusat zakat menemui mereka dan memberikan tempat perlindungan.

Dari mereka menjual atas bonet kereta, sehingga perlahan-lahan membeli khemah dan gerai untuk menjual di kolam air panas bersama ibu, ayah dan adik-adik.

Gerai kecil mereka tutup jam 1 pagi setiap hari. Namun adik Nazrin sangat rajin. Kepenatan itu tidak dijadikan alasan untuk malas ke sekolah. Penuh bersemangat memikul beg dan berjalan kaki ke sekolah setiap hari.

Hubungan dia dan keluarganya dengan aku tidak lagi bagai orang asing. Mereka ini seakan sebahagian keluarga aku juga.

Setiap kali Dana Kita beraksi, keluarga dia sentiasa aku ziarahi. Apa sahaja berita gembira, aku antara orang terawal mereka akan maklumkan.

Dan malam tadi selepas Isyak, ada satu wasap masuk dari ayah anak ini. Bukan ingin berkongsi berita gembira, tetapi ingin memberitahu berita duka. Adik Nazrin kemalangan.

Empat tulang rusuknya patah. Lebih merisaukan, ada pendarahan dalam kepala. Pakar bedah dari Hospital Sg Buloh segera berkejar dan membuat penilaian.

Kata doktor, jika darah beku itu makin banyak di dalam kepala, esok mesti dibuat pembedahan segera.

Sahabat… Aku dengan rendah diri memohon kalian doakan anak ini. Doakan agar semuanya selamat dan baik-baik sahaja. Doakan agar diberi kesembuhan segera.

Adik Nazrin terus kuat dan tabah ya! Esok InsyaAllah cikgu sampai memberi semangat.

 Sumber : Fadli Salleh

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.