Siakap Keli

Terkini : Sultan Muhammad V Letak Jawatan Sebagai Yang Di-Pertuan Agong XV

Melalui satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Istana Negara sebentar tadi, Sultan Muhammad V telah meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong XV berkuatkuasa hari ini selaras dengan Perkara 32(3) Perlembagaan Persekutuan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz berkata, baginda  telah memaklumkan perkara tersebut secara rasmi kepada Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja melalui warkah yang telah diutuskan baginda kepada Setiausaha Majlis Raja-raja.

”Bagi menjunjung titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V, dengan ini Istana Negara memaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong XV berkuatkuasa 6 Jan, 2019 bersamaan 29 Rabiulakhir 1440H selaras dengan Perkara 32(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Baginda juga turut menzahirkan ucapan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada semua pihak serta rakyat yang telah memberi kerjasama sepanjang Baginda mentadbir negara ini.

”Baginda Tuanku menzahirkan ucapan terima kasih kepada Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja yang telah memilih Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong XV bermula 13 Disember 2016. Baginda juga menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan Kerajaan yang telah memberi kerjasama dalam mentadbir negara.

”Kepada rakyat Malaysia, KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku bertitah supaya rakyat Malaysia taws bersatu mengekalkan perpaduan, bertolak ansur dan bersepakat dalam memikul tanggungjawab terhadap negara yang berdaulat ini supaya Malaysia terus berada dalam keadaan aman dan harmoni,” katanya dalam kenyataan itu lagi.

Infografik : Sultan Muhammad V

Berita lanjut menyusul.

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.