Siakap Keli
Gambar : arabianbusiness

Kerajaan Arab Saudi Rancang Keluarkan Visa Untuk Pelancong Asing, Termasuk Bukan Islam

Riyadh : Kerajaan Arab Saudi merancang untuk mengeluarkan visa kepada semua pelancong asing, termasuk bukan Islam, pada tahun ini dalam usaha mempromosi negara itu sebagai satu destinasi percutian, yang merupakan sebahagian Wawasan 2030nya.

Menteri Media Arab Saudi Dr Awwad Saleh Al-Awwad berkata, langkah tersebut diharap dapat membantu negara itu melenyapkan imej tidak mesra yang disebabkan oleh iklim budaya sosialnya.

“Pada masa ini, kami mengeluarkan visa bagi tujuan penganjuran sesuatu acara, dan untuk menjadikan ia (visa pelancong) suatu realiti, kami perlu mempertimbang beberapa aspek.

”Arab Saudi juga merupakan sebuah tempat di mana berjuta-juta orang datang untuk bekerja dan kami perlu mencari mekanisme yang tepat untuknya.

“Kami akan cuba membincangkannya lagi dengan kerajaan dan insya-Allah, mungkin kami boleh mengeluarkan visa pelancong pada tahun ini,” katanya semasa mengadakan pertemuan dengan kumpulan media asing di pejabat kementerian itu di sini baru-baru ini.

Pada Disember tahun lepas, kerajaan Arab Saudi buat julung kalinya mengeluarkan isu kepada pelancong semata-mata untuk penampilan sulung Perlumbaan Formula E (E-Prix) Saudia Ad Diriyah 2018 di ibu negaranya yang menyaksikan kira-kira 1,000 pelancong dari 80 negara penuh sesak pada acara itu.

Wawasan 2030 merupakan pelan induk negara itu untuk pembangunan utama dalam pelbagai sektor ekonomi menjelang tahun 2030.

Menerusi pelan induk itu, kerajaan merancang untuk mewujudkan tarikan dengan piawaian antarabangsa tertinggi, menaik taraf prosedur pengeluaran visa untuk pengunjung dan menyediakan serta membangunkan tapak warisan dan sejarah negara.

Pada masa ini, kerajaan hanya mengeluarkan visa Umrah dan Haji untuk jemaah.

Mengikut angka yang dikeluarkan oleh kerajaan negara itu pada 2015, jumlah pengunjung Umrah asing telah mencecah lapan juta, yang meningkat tiga kali ganda selepas peluasan Dua Masjid Suci.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.