Siakap Keli
Gambar : Bernama

”Syukur The Kampung Boy” Terima Anugerah Murid Unggul

Kuala Terengganu : Selepas menjadi popular apabila gambarnya bersama sekumpulan kerbau menjadi tular di media sosial, adik Muhammad Syukur Khamis, 14, hari ini menerima Anugerah Pencapaian Murid Unggul Daerah Kuala Terengganu di sini.

Pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin itu diraikan bagaikan hero di hadapan 1,500 pelajar sekolah berkenaan dalam satu majlis penganugerahan ringkas, yang disempurnakan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Terengganu, Jelani Sulong.

Gambar : Bernama

“Terima kasih kepada pihak sekolah atas penghargaan hari ini, tidak lupa guru-guru serta kawan-kawan yang turut sama meraikan,” kata beliau yang nampak segak berpakaian seragam sekolah ketika ditemui sumber kemudiannya.

“Saya bangga kerana selepas gambar itu menjadi viral, rakan-rakan ramai yang bertanya bagaimana saya boleh berinteraksi dengan baik bersama “rakan-rakan” saya itu, saya kata kepada mereka, saya dah bergaul dengan haiwan ini sejak dari kecil,” tambahnya.

Gambar : Bernama

Syukur telah menjadi buruan lensa jurugambar dalam dan luar negara sejak beberapa tahun lepas lagi, dan beliau mula menjadi cukup popular susulan kebolehannya berinteraksi dengan lebih 100 ekor kerbau peliharaan ayahnya, Khamis Jusoh, 63, mulai tular di media sosial.

Gambar Syukur bersama sekawan kerbau itu mulai menjadi bualan ramai selepas gambar itu muncul juara peringkat Asia, selain turut tersenarai antara 20 gambar terbaik dunia, baru-baru ini.

Syukur berkata selain memberi motivasi kepada dirinya, anugerah yang diterima hari ini diharap turut dapat memberi inspirasi kepada rakan-rakan lain supaya menyantuni haiwan kerana ia juga makhluk ciptaan Allah yang mempunyai naluri seperti manusia.

Pengetua sekolah berkenaan, Zah Mohamad berkata anugerah yang diterima Syukur bertepatan dengan nilai-nilai yang ada dalam diri pelajar berkenaan iaitu kasih, saling menghormati, kebahagiaan dan kemanusiaan​​​​​​.

“Kita juga mempunyai perancangan yang teratur supaya tahap pendidikan Syukur yang kini berada pada tahap sederhana dapat ditingkatkan menjadi pelajar cemerlang,” katanya.

“Kami sentiasa memantau perkembangannya agar dia yang dikenali netizen sebagai Syukur – The Kampung Boy tidak leka dengan populariti yang diraih ketika ini,” katanya.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.