Siakap Keli

Tabung Harapan Kutip Lebih RM 200 Juta, Sumbangan Lepas 14 Januari Akan Dikembalikan Kepada Penyumbang

Kementerian Kewangan Malaysia melalui satu kenyataan media mengumumkan sumbangan yang dibuat selepas 14 Januari kepada Tabung Harapan Malaysia (THM) tidak akan dikreditkan kepada tabung berkenaan dan akan dikembalikan semula kepada penyumbang.

Terdahulu, hasil maklum balas positif yang diterima, kerajaan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 2 Januari memutuskan untuk melanjutkan tarikh pemberian sumbangan selama dua minggu yang berakhir pada 14 januari lepas.

”Baki akhir setakat 14 Januari 2019 adalah berjumlah RM202,716,775.10. Pihak Kementerian Kewangan dalam tindakan untuk membuat pelarasan penutupan akaun tersebut sebelum pengauditan dijalankan oleh Jabatan Audit Negara,” kata kenyataan itu lagi yang menyebut dana berkenaan akan digunakan untuk membayar hutang kerajaan.

Satu Jawatankuasa Akaun yang dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Ahmad Badri bin Mohd Zahir, Ketua Setiausaha Perbendaharaan akan bertanggungjawab untuk memutuskan penggunaan wang THM mengikut tatacara yang termaktub dalam Arahan Amanah akaun THM.

”Kerajaan Persekutuan merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang telah memberikan sumbangan kepada THM. Sumbangan mereka mencerminkan kesetiaan dan kasih sayang mereka terhadap tanahair yang dicintai.

”Selain itu, ia memberikan semangat kepada Kerajaan untuk berusaha bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan masalah hutang yang diwarisi Kerajaan Persekutuan,” kata kenyaantaan itu yang dikeluarkan melalui Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Sumber: Kementerian Kewangan

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.