Siakap Keli
Gambar Hiasan

Kementerian Kewangan Kembalikan Bantuan Sara Hidup Untuk Golongan Bujang

Kementerian Kewangan Malaysia melalui Menterinya, YB Lim Guan Eng mengumumkan Bantuan Sara Hidup (BSH) untuk golongan bujang dikembalikan.

Menurut kenyataan itu lagi, untuk pemulaan awal agihan sebanyak RM 100 akan diberikan kepada setiap individu kategori bujang yang berdaftar di dalam pangkalan data BSH 2018.

”Bayaran tersebut akan dibuat pada hujung bulan Mac 2019 dan dimasukkan terus ke akaun bank mereka,” kata kenyataan itu yang menyebut bahawa bantuan berkenaan akan memberi manfaat kepada lebih 3 juta rakyat dan melibatkan peruntukkan sebanyak RM 300 juta.

”Berhubung bayaran selanjutnya, kadar bantuan BSH bagi 2019 untuk golongan bujang akan dikaji semula dan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk dimuktamadkan,” katanya lagi.

Terdahulu dalam keputusan mesyuarat Kabinet tahun lepas, BSH yang disediakan kerajaan hanya memberi keutamaan kepada golongan bekeluarga dengan menyediakan kadar bayaran tambahan mengikut bilangan anak dalam tanggungan.

Bayaran BSH 2019 sudahpun diagihkan pada 28 Januari yang lalu dengan nilai sebanyak RM 300 kepada semua isi rumah yang berdaftar dalam pangkalan data yang lama walaupun masih belum dikemas kini.

Pemberian bantuan ini turut ditekankan oleh Timbalan Presiden Pakatan Harapan yang menyarankan bantuan turut diberi kepada golongan bujang yang bekerja tetapi mempunyai pendapatan kecil.

 

Sumber: Kementerian Kewangan

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.