Siakap Keli
Gambar Hiasan - Google

231 Bayi Di Terengganu Tidak Disuntik Vaksin Sepanjang 2018

Kuala Terengganu : Sejumlah 231 bayi di Terengganu dikesan tidak menerima suntikan vaksin ekoran tidak mendapat kebenaran daripada ibu bapa mereka sepanjang tahun lepas, kata Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohd Jusoh.

Beliau berkata jumlah itu mencatat sedikit peningkatan berbanding 191 bayi tidak disuntik vaksin pada tahun 2017.

“Daripada 231 bayi itu, 228 adalah berbangsa Melayu dan kebanyakan ibu yang menolak suntikan vaksin ini ialah suri rumah iaitu seramai 158 orang.

Jumlah ini dikesan kerana mereka hadir ke klinik kesihatan berhampiran untuk membuat pemeriksaan biasa seperti menimbang berat bayi, mengukur ketinggian atau perkembangan semasa bayi, malangnya mereka menolak untuk bayi disuntik vaksin,” katanya kepada sumber selepas melancarkan sambutan Hari Kesedaran Kanser peringkat negeri di sini hari ini.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan terdapat lebih ramai bayi yang tidak menerima suntikan vaksin di Terengganu kerana data yang diperoleh hanya daripada ibu bapa yang datang ke klinik kesihatan milik kerajaan sahaja.

Dr Mohd berkata walaupun jumlah ibu bapa yang menolak vaksin itu sangat kecil berbanding kelahiran purata 25,000 bayi setiap tahun di Terengganu, jabatan tetap memandang serius perkara itu.

“Kebanyakan ibu bapa menolak vaksin kerana tidak yakin dengan status halal dan keselamatan vaksin sedangkan perkara itu sudah dijelaskan Kementerian Kesihatan bahawa vaksin yang digunakan adalah halal dan selamat,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mohd berkata  3,645 penduduk Terengganu  disahkan mengidap kanser dalam tempoh lima tahun iaitu dari tahun 2007 hingga 2011.

“Tiga jenis kanser utama dalam kalangan lelaki di Terengganu adalah kanser paru-paru (18.8 peratus) diikuti kanser usus (13.6 peratus) dan kanser hati (9.4 peratus) manakala bagi wanita pula, kanser payudara adalah kanser tertinggi direkodkan iaitu 27 peratus diikuti kanser usus besar (8.9 peratus) dan kanser ovari (8.8 peratus).

Jabatan menasihatkan orang ramai agar sentiasa membuat saringan di fasiliti kesihatan kerajaan atau swasta kerana saringan awal mampu mencegah penyakit kanser,” katanya.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Editor: Sha Rossa

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di