Siakap Keli

Kematian Adib Akibat ARDS, Kegagalan Pelbagai Organ – Perunding Kanan IJN

Shah Alam : Perunding kanan Institut Jantung Negara (IJN)  memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini bahawa sindrom kesukaran pernafasan akut (ARDS) dan kegagalan fungsi pelbagai organ dikenal pasti sebagai punca kematian Muhammad Adib Mohd Kassim.

Perunding Kanan Pakar Bedah Kardiotorasik IJN Datuk Dr Mohamed Ezani Md Taib berkata ARDS atau Acute Respiratory Distress Syndrome (ARDS) iaitu kegagalan paru-paru berlaku akibat trauma tumpul utama yang dialami Allahyarham.

 “Trauma kecederaan tumpul disebabkan oleh objek keras yang kena pada dada anggota bomba ini. Bagaimanapun, saya tidak boleh membuat spekulasi apakah objek itu kerana ia boleh terdiri daripada banyak benda.

“Saya juga tidak boleh menentukan kerosakan (paru-parunya) memandangkan kami tidak menjalankan pembedahan,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadini Khairuddin, yang juga pegawai pengendali inkues berkenaan, pada hari kesembilan prosiding itu.

Beliau berkata, kegagalan pelbagai organ berlaku setelah paras oksigen anggota bomba itu merosot yang membawa kepada kegagalan jantung dan buah pinggangnya juga tidak pulih sehinggalah menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis.

 Faten Hadini : Adakah kamu nampak sebarang kecederaan?

Dr Mohamed Ezani: Ya, terdapat lebam di bahu dan siku kanan Adib.          

Faten Hadini :  Adalah kamu menjalankan sebarang pembedahan apabila Adib pulih?

Dr Mohamed Ezani: Pasukan kami tidak menjalankan sebarang pembedahan apabila Adib pulih kerana keadaannya lemah. Pembedahan tidak boleh dijalankan sebelumnya kerana Adib masih bergantung kepada mesin  ‘Extracorporeal Membrane Oxygenation’ (ECMO) dan ubatan untuk mengekalkan tekanan darah yang boleh membawa kepada kemungkinan keadaan pendarahan yang tidak dapat kami kawal.

Faten Hadini: Adakah sebarang pembedahan dilakukan selepas ECMO tidak lagi diperlukan? 

Dr Mohamed Ezani: Tiada pembedahan dijalankan. Kami memerlukan pesakit menjadi lebih kuat dan itulah sebabnya kami memberi fisioterapi. Kami mesti yakin pesakit dalam keadaan yang paling baik. Protein mesti stabil dan kekuatan otot perlu baik supaya dia dapat bernafas selepas pembedahan.

Faten Hadini: Adakah dia berjaya mencapai keadaan optimum untuk pembedahan?

Dr. Mohamed Ezani: Dia berjaya mencapai hemoglobin dan protein tetapi tidak dalam kekuatan fizikal. Oleh itu, kami tidak menjalankan pembedahan.

Terdahulu,  Dr Mohamed Ezani berkata apabila Adib tiba di IJN, pasukannya berusaha untuk menstabilkan tekanan darah dan paras oksigennya yang merosot dengan pantas akibat kecederaan.

Beliau berkata pasukannya memasang mesin ECMO kepada anggota bomba itu sebaik dia tiba bagi menstabilkan oksigen dan tekanan darahnya.

“ECMO akan membantu aliran darah pesakit melancarkan fungsi jantung dan paru-paru. Selepas dipasang ECMO, keadaan Muhammad Adib bertambah baik.

”Hemodinamik (tekanan darah dan kadar nadi) bertambah baik dan oksigen pada kadar 100 peratus. Bagi kami, dia lebih stabil berbanding semasa dia di dalam ambulans.

“Objektif utama pasukan kami bagi 48 jam yang pertama ialah untuk menstabilkan sistem ECMO dan menangani kecederaan yang mengancam nyawa.”

Beliau berkata pada 2 Dis tahun lepas, penilaian terhadap pesakit mendapati fungsi jantungnya telah pulih yang menyebabkan mereka menukarkan VA-ECMO yang menyokong jantung dan paru-paru kepada VB-ECMO yang hanya menyokong paru-paru.

“Apabila dalam VB-ECMO, keadaannya secara umum bertambah baik dan dia boleh mengenali ibu bapanya dan sekeliling. Bagaimanapun, dia tidak boleh bercakap kerana terdapat tiub dalam mulutnya tetapi dia faham arahan mudah dan kami memberikannya papan putih dan pen untuk berkomunikasi,” katanya dan menambah bahawa Allahyarham juga meminta telefonnya daripada salah seorang jururawat.

Menjelas lanjut, saksi ke-14 itu berkata para doktor memutuskan untuk tidak lagi memberi rawatan dengan ECMO pada 11 Dis memandangkan ia hanya sementara dan boleh memberi kesan sampingan kepada organ lain.

“Apabila kami menanggalkan mesin itu, kami terus memantau paras oksigennya dan ia mencukupi sepanjang proses termasuk semasa sesi psikoterapi. Kami berjaya mendudukkannya kerana dia tidak lagi dipasang dengan sebarang mesin,” kata beliau.

Bagaimanapun, beliau berkata keadaan Adib merosot pada 14 Dis setelah gagal mengekalkan pengoksigenannya dan nafas yang pendek.

“Ini menyebabkan kami menggunakan semula mesin ECMO pada 15 Dis setelah keadaannya semakin merosot, tetapi walaupun kami berusaha, keadaannya tidak bertambah baik sehinggalah dia menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis,” katanya.

Sumber : Bernama

Nuraiyshah A.L

Being a sleepy girl with a busy life is hard.

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di