Siakap Keli

“Ni Lagi Penting Dari Buat Scan Nak Tengok Bayi Ikut Hidung Mak Ke, Bibir Ayah,” Ibu Kongsi Kenapa ‘Detail Scan’ Bayi Sangat Penting

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Bakal-bakal ibu pasti menginginkan yang terbaik buat bayi yang dikandung.  Adalah sangat penting untuk bakal ibu dan ayah ini mengambil tahu perihal bayi sejak dari dalam perut.

Anamoly scan ataupun imbasan terperinci untuk bayi antara kaedah yang boleh dilakukan bagi memeriksa keadaan bayi dengan lebih detail seawal 18 minggu ke 24 minggu kehamilan.

Kenapa perlu buat detailed scan?

Perkongsian daripada ibu ini, Ell F Azman menceritakan pengalamannya sendiri menjalankan imbasan bayi dan kebaikannya.

DETAILED ANAMOLY SCAN

Bismillah. Bila tengok video Lana Nordin haritu, memang menangis teresak-esak sama. Tengok anaknya Billy, perasaan ni boleh kata nak sama walaupun belum bersua muka lagi dengan baby sendiri ni.

Sebenarnya nak kongsi benda ni bila baby dah keluar. Tapi memandangkan ramai kawan dekat FB ni berbadan dua, jadi saya kongsikan saja. Semoga bermanfaat untuk semua.

Pesanan untuk bakal ibu dan ayah, kalau ada rezeki lebih, buatlah detailed scan masa si ibu mengandung. Lebih penting daripada buat 3D4D scan hanya untuk lihat wajah baby ikut hidung mak ke, ikut bibir ayah ke.

Detailed scan ni untuk tengok anggota-anggota badan baby secara terperinci seperti otak, jantung, buah pinggang, perut, bilangan jari tangan jari kaki, tulang belakang, kedudukan antara mata dan lain-lain.

Kepala baby yang doktor check termasuklah cecair dalam otak, saiz kepala. Tengok juga baby ada sumbing ke tak. Ada ciri-ciri down syndrome ke tak. Jantung tu tengok dinding jantung, salur darah di jantung, ada kebocoran atau tidak. Buah pinggang pula tersumbat ke tidak. Macam-macam lagi.

Detailed scan ni boleh buat bila usia kandungan antara 18-28 minggu tapi lebih baik antara 18-22 minggu sebab makin besar baby makin susah nak check, susah nak detect, susah nak tengok apa yang tak normal dan sebagainya.

2 orang anak sebelum ni, memang kami tak pernah buat. Kandungan kali ni memang tergerak hati nak buat. Masa tu dah 25 minggu. Dugaan buat kami. Doktor dapat kesan ada kebocoran di jantung baby. Terus kena rujuk pakar di hospital.

Mengikut doktor pakar, baby kami baby VSD iaitu mempunyai masalah “ventricular septal defects” atau kecacatan septum ventrikel. Secara spesifiknya PMVSD (Perimembranous Ventricular Septal Defects).

Tapi inshaAllah ada harapan untuk “spontaneous closure” maksudnya lubang tertutup dengan sendiri. Sama ada sebelum baby keluar, atau selepas baby keluar.

Seharian juga menangis sampai demam bila dapat tahu. Tapi alhamdulillah ada hikmahnya juga.

via Indian Radiologist

Sekurang-kurangnya dapat tahu awal, dapatlah nasihat sedikit sebanyak dari pakar sebelum bersalin. Juga boleh bersedia dari segi mental. Boleh merancang kelahiran baby ni, juga penjagaan selepas baby keluar nanti.

Sepanjang kehamilan kali ni, memang banyak dugaannya. Terlalu penat fizikal & mental sampai kadang rasa tak nak cakap dengan sesiapa. Nak duduk rumah diam-diam macam duduk dalam gua. Malas nak layan ragam manusia. Sekarang ni masih cuba positif setiap hari, walaupun risau & gundah gulana tu tetap ada.

Alhamdulillah ‘ala kulli hal. Dalam ujian Allah pasti ada hikmah & kebaikannya. Doakan baby keluar nanti sihat walafiat, dipermudahkan kelahirannya dan tiada komplikasi; mamma dan juga baby. Aamiin ya Mujib.

Cuma saya harap semua dapat mesej yang saya nak sampaikan. Detailed anatomy scan ni penting. Buatlah.

As usual,
Ell.

Extra note: Ada yang tanya kos berapa. Saya ambil pakej detailed scan + 3D4D RM150. Kalau detailed scan saja RM110. Kos bergantung kepada klinik/hospital swasta tersebut.

#ellshares #motherhood #khalifahno3

Nur Farra