Siakap Keli

Sanggup Telan Dokumen Rahsia Negara, Elak Jatuh Ke Tangan Musuh

Juruterbang pesawat Tentera Udara India yang ditembak jatuh beberapa hari lepas di Kashmir sebelum ditawan Pakistan mendedahkan bahawa dia bertindak menelan beberapa dokumen penting yang mengandungi rahsia negara untuk mengelakkannya daripada jatuh ke tangan musuh.

Menurut Komander Abhinandan Varthaman, dalam cubaannya untuk menyelamatkan diri ketika dikejar penduduk kampung, dia sempat terjun ke dalam kolam berhampiran. Sebahagian daripada dokumen berkenaan hancur dan rosak akibat terkena air.

Katanya lagi, dia sempat melepaskan beberapa das tembakkan ke udara bagi menghalang orang kampung daripada merapatinya.

Menceritakan kisah tersebut, Abhinandan memberitahu sebaik sahaja dia mendarat dengan payung terjun selepas pesawatnya ditembak, dia dihampiri oleh beberapa penduduk kampung.

Ketika itu dia bertanya sama ada dia mendarat di tanah India ataupun Pakistan, salah seorang daripada penduduk kampung mendakwa dia mendarat di kawasan India membuatkan dirinya mula melaungkan slogan-slogan pro-India.

Bagaiamanpun setelah diberitahu nama kawasan tersebut adalah Qillan, yakni salah satu wilayah di Pakistan, jeritan slogan pro-Pakistan pula dilaungkan oleh orang kampung. Dia kemudian mula diserang hingga terpaksa melepaskan tembakkan amaran sebelum berusaha melarikan diri.

Abhinandan bagaimanapun berjaya ditawan oleh penduduk kampung sebelum diserahkan kepada Tentera Pakistan. Ketika ditarik keluar daripada kolam, salah seorang penduduk kampung turut menembak bahagian kakinya. Antara dokumen yang ditemui di dalam kolam di mana dia cuba menyorok adalah Buku Panduan Menyelamatkan Diri Didarat, buku nota dan peta.

Ketika dalam tawanan Tentera Pakistan, tular satu video pengakuan oleh Abhinandan yang mendakwa dirinya menerima layanan baik daripada pihak musuh dan berikrar untuk tidak mengubah kenyataan itu biarpun sudah pulang ke India satu hari nanti.

Abhinandan kemudian diserahkan kembali kepada kerajaan India oleh Pakistan sebagai isyarat keamanan pada 1 Mac yang lalu.

Sumber: Times of India

 

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.