Siakap Keli
Gambar Hiasan

Caj 20 Sen Untuk Setiap Beg Plastik Biodegradasi Ketika Membeli-Belah Akan Dilaksanakan Di Wilayah Persekutuan

Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) melalui satu kenyataan media yang dikongsikan di media sosial bakal melaksanakan caj penggunaan beg plastik biodegradasi sebanyak RM 0.20  yang digunakan pengguna ketika membeli-belah bermula 15 Mac ini.

Penguatkuasaan undang-undang berkenaan akan dilaksanakan di Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan.

”Caj berkenaan hanya boleh dikenakan ke atas setiap beg plastik biodegradasi, manakala tindakan penguatkuasaan akan diteruskan kepada peniaga dan penjaja yang masih menggunakan beg plastik konvensional,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, kaedah yang dikenali sebagai polluter pays principle ini dilaksanakan bertujuan untuk memberi kesedaran dan perubahan minda kepada seluruh rakyat Malaysia amnya dan warga Wilayah Persekutuan khasnya mengenai perbelanjaan yang dikeluarkan oleh kerajaan dalam menguruskan sisa plastik.

”Selain itu, pendekatan tersebut diambil supaya dapat memberi kesedaran mengenai inisiatif hijau serta menjamin kelestarian alam sekitar.

”Para peniaga dan penjaja juga berpandangan usaha mengurangkan penggunaan beg plastik tidak akan berjaya selagi ia masih disediakan kepada pengguna secara percuma,” kata kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu, KWP berharap semua warga Wilayah Persekutuan dapat memberi sokongan kepada usaha kerajaan dan membawa beg sendiri ketika keluar membeli-belah.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.