Siakap Keli

Marah Awalnya Kerana Tiada Siapa Membantu, Tetapi Lelaki Ini Bersyukur Kerana Terlewat 2 Minit

Seorang lelaki berasal daripada Greece memberitahu bahawa dia merupakan penumpang ke-150 pesawat Ethiopia Airlines yang terhempas pada Ahad, namun terlepas penerbangan tersebut kerana terlewat hanya 2 minit.

”Saya berasa amat marah kerana ketika itu tiada petugas yang membantu saya untuk sampai di pintu tepat pada masanya,” kata Antonis Mavropoulos di laman Facebook miliknya ketika berkongsi kisah tersebut.

Antonis yang merupakan Presiden International Solid Waste Association, sebuah badan bukan kerajaan ketika itu dalam perjalanan untuk menyertai Mesyuarat Tahunan anjuran Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Nairobi, Kenya.

Dia sepatutnya menjadi salah seorang penumpang pesawat malang berkenaan namun kegagalan petugas di lapangan terbang membantunya menyebabkan dia terlepas penerbangan tersebut.

Antonis kemudian menempah tiket penerbangan seterusnya tetapi dihalang daripada memasuki pesawat.

”Saya merasa marah dan dibawa ke balai polis lapangan terbang. Disitu saya ditegur oleh salah seorang pegawai dan berkata saya tidak perlu membuat protes sebaliknya memanjatkan kesyukuran kepada Tuhan.

”Kata mereka, saya adalah satu-satunya penumpang yang terselamat ketika pesawat bernombor ET 302 hilang daripada radar,’‘ kata Antonis lagi di laman facebooknya.

Petugas keselamatan juga memberitahunya bahawa dia dibawa ke balai polis untuk disiasat kerana menjadi satu-satunya penumpang yang tidak menaiki pesawat malang tersebut.

”Mereka memberitahu bahawa saya tidak akan dilepaskan sehinggalah identiti saya diperiksa dengan teliti. Mereka mahu tahu, kenapa saya tidak menaiki pesawat tersebut,” katanya.

Pesawat malang berkenaan terhempas selepas kira-kira 6 minit meninggalkan lapangan terbang, membunuh kesemua 149 penumpang dan 8 anak kapal.

Penumpang-penumpang yang maut terdiri daripada lebih 30 kewarganegaraan berbeza dan beberapa orang peserta Mesyuarat Tahunan PBB.

Insiden berkenaan berlaku kurang lima bulan daripada peristiwa yang menimpa Lion Air yang meragut lebih daripada 180 nyawa. Beoing 737 MAX 8 milik syarikat tersebut terhempas di Laut Jawa selepas 13 minit berlepas.

Sumber: Dailymail

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.