Siakap Keli
Gambar Hiasan

Pesara Minta Kerajaan Kekal Penjawat Awam Sedia Ada

Kelab Pesara Malaysia (KUPEKMAS) mahu kerajaan mengekalkan semua penjawat awam sedia ada dan mengambil pendekatan lain sebagai langkah penjimatan.

Pengerusinya Datuk Omar Osman berkata ia kerana golongan itu berdepan pelbagai komitmen termasuk pinjaman perumahan selain menyara ibubapa dan keluarga.

“Lagi pun mereka dilantik sebagai penjawat awam tetap dan berpencen ketika mula-mula ditawarkan pekerjaan dahulu. Biarlah mereka, sama ada yang baru berkhidmat atau telah lama berkhidmat menamatkan kerja apabila tiba masa untuk berpencen,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama di Majlis Ramah Mesra Pesara dan Bakal Pesara Serta Tawaran Rumah Penjawat Awam Peringkat Negeri Kelantan di sini, hari ini.

Turut hadir Anggota Majlis Tertinggi KUPEKMAS Abdullah Mahfuz dan Yang Dipertua Persatuan Pesara Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad.

Program tersebut diadakan bagi merapatkan hubungan pesara dan penjawat awam yang bakal bersara  selain mengadakan perbincangan berhubung langkah persediaan masa hadapan mereka.

Omar berkata bagi memastikan kebajikan penjawat awam terbela, pihaknya telah menghantar surat kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga penaung KUPEKMAS untuk mengadakan pertemuan berhubung perkara itu.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Borhan Dolah dalam satu kenyataan semalam memberitahu saiz perkhidmatan awam bagi tempoh tiga tahun mulai 2019 hingga 2021 tidak melibatkan pemberhentian penjawat awam atau pengisian sedia ada sebaliknya hanya melibatkan jawatan yang tidak diisi melebihi tempoh dua tahun.

Katanya pelaksanaan tersebut tidak memberi implikasi pengisian jawatan bagi sektor kritikal seperti kesihatan, pendidikan dan keselamatan dan proses penggantian pegawai yang berpencen masih diteruskan.

Dalam pada itu Omar berkata sejumlah 1,880 unit rumah untuk penjawat awam dan pesara yang dibangunkan oleh sebuah syarikat di Lembah Sireh kini mula dibuka untuk jualan pada harga serendah RM274,000.

— BERNAMA

Nur Farra