Siakap Keli
Gambar : Google

Kereta Langgar Pesawat Di Subang, Pemandu Parah

Seorang pemandu kenderaan kejuruteraan lapangan terbang dilaporkan cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah pesawat persendirian.

Kejadian tersebut didakwa berlaku kira-kira jam 3.20 pagi tadi di landasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah dibawa mendapatkan rawatan manakala penumpang dan kru pesawat yang berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Susulan insiden berkenaan, operasi ketibaan beberapa penerbangan telah terjejas kerana kerja-kerja membersihkan serpihan dan mengalihkan kenderaan tersebut.

Bagaimanapun, menurut Malaysia Airports, operasi penerbangan telah kembali pulih seperti sediakala bermula dari 9 pagi tadi.

Sementara itu, memetik laporan Bernama, Malaysia Airports telah menubuhkan pasukan penyiasat dan sedang bekerjasama rapat dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bagi menyiasat punca kemalangan.

Dalam pada itu, Kementerian Pengangkutan telah mengaktifkan Bahagian Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) untuk menjalankan siasatan menyeluruh mengenai insiden berkenaan, kata kenyataan itu lagi menurut laporan Bernama.

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.