Siakap Keli
Gambar Sekadar Hiasan

Johor Mungkin Buat Pembenihan Awan Sekiranya Cuaca Panas Berlarutan

Kluang : Kerajaan negeri berkemungkinan melaksanakan pembenihan awan awal bulan hadapan sekiranya cuaca panas dilihat berlarutan sehingga menjejaskan paras air di semua empangan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata bagaimanapun pembenihan awan itu akan melihat kepada kesesuaian lokasi dan juga dari segi kos.

“Memang, saya baru bincang, ia (pembenihan awan) satu usaha yang mungkin kita akan buat,” katanya  kepada sumber selepas melawat Empangan Machap, dekat sini hari ini.

Buat masa ini, kerajaan negeri bersama agensi-agensi berkaitan sentiasa membuat pemantauan dan akan melihat kepada keadaan cuaca terutamanya pada minggu ini.

“Sekiranya cuaca minggu ini tidak membantu, maka awal bulan hadapan kita kena tengok  berkemungkinan melakukan pembenihan awan,” katanya.

Difahamkan kos pembenihan awan melibatkan sebanyak RM500,000 hingga RM600,000 (10 kali penerbangan).

Bagaimanapun, Puah berkata mengikut Jabatan Meteorologi kini merupakan fasa peralihan monsun dan dijangkakan lebih banyak hujan akan turun di negeri ini.

“Bagaimanapun kita nampak cuaca mungkin ada perubahan. Diharap dengan turunnya hujan yang cukup, kita boleh elakkan daripada apa-apa gangguan bekalan air.

“Memang sekarang kita dah sampai satu tahap yang kritikal tetapi semuanya terkawal, tertakluk kepada cuaca akan datang,” tambah Puah.

Empangan Machap, yang fungsi utamanya adalah tebatan banjir, kadangkala dilepaskan untuk membantu bekalan Loji Rawatan Air Simpang Renggam, yang kini membekalkan air kepada 125,000 pengguna di Pontian Utara dan Simpang Renggam.

Sementara itu, bekalan air kepada 125,000 pengguna di Pontian Utara dan Simpang Renggam telah pulih susulan pencemaran ammonia di Sungai Ulu Benut dan Sungai Machap sejak Sabtu lepas.

Puah berkata air telah dilepaskan menerusi Empangan Machap yang kemudiannya mengalir ke dua sungai berkenaan dan membersihkan pencemaran itu.

“Paras bacaan pada hari ini, kalau kita tengok dah jatuh kepada 2.5 ppm (parts per million) berbanding sebelum ini iaitu 90 ppm. Disebabkan cuaca ada hujan dan sebab kita buka Empangan Machap, ada pelepasan, kita anggap ia selamatlah.

“Kita akan bincang dengan Jabatan Alam Sekitar kalau boleh jangan ada insiden begini berlaku lagi dan akan berjumpa dengan Majlis Perbandaran Kluang, Majlis Perbandaran Batu Pahat dan Majlis Perbandaran Simpang Renggam untuk pastikan industri yang bersebelahan Sungai Machap, kita kena kawal, kalau libatkan pencemaran, kita kena buat sesuatu dengan tegas,” katanya.

Semalam, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mahu pihak berkuasa segera menyiasat pencemaran yang berlaku di Sungai Ulu Benut dan Sungai Machap dekat Simpang Renggam dekat sini.

Melalui Facebook rasmi baginda, Sultan Ibrahim bertitah pencemaran yang berlaku di dua batang sungai terbabit telah menyebabkan kematian hidupan sungai.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.