Siakap Keli
Gambar : Facebook

Operasi SAR Peserta Hilang Diteruskan – Bomba

Gopeng : Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak akan meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang peserta Gopeng Ultra Trail, Mohammad Ashraf Hassan, yang hilang sejak Sabtu lepas sehingga ditemui semula.

Pengarahnya, Azmi Osman berkata pihaknya yakin dapat menemui petunjuk baharu apabila operasi SAR telah diperluaskan hari ini kepada 12 kilometer.

Katanya operasi SAR yang masuk hari keempat hari ini turut mendapat kerjasama beberapa agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Pasukan Gerakan Am selain  persatuan pendaki serta individu yang mempunyai kepakaran mengesan dan mencari orang hilang.

“Kita memberi fokus pencarian kepada kawasan puncak Bukit Batu Putih ke arah ‘check point’ 10 yang merupakan ‘check point’ terakhir merangkumi kawasan cerun bukit dan kawasan perumahan penduduk kampung yang melalui jalan bertar,” katanya ketika ditemui sumber di pos operasi di Kampung Sungai Itek di sini hari ini.

Beliau berkata Unit Anjing Pengesan (K9) dari Kuala Lumpur sekali lagi akan digerakkan untuk mengesan mangsa yang berusia 29 tahun dalam kawasan radius kawasan pencarian tersebut.

Mengulas lanjut, Azmi berkata petunjuk sebelum ini termasuk penemuan botol minuman yang dipercayai milik mangsa tidak menunjukkan hasil positif dan pasukan penyelamat akan mencari bukti serta petunjuk baharu yang boleh membawa kepada penemuan mangsa.

Menurutnya, operasi SAR tidak akan terhenti sebelum mangsa ditemui melainkan pihaknya menerima arahan atau faktor-faktor lain yang perlu menghentikan operasi berkenaan.

Sementara itu, seorang penduduk kampung, Johari Lukar, 64, berharap sebarang penganjuran aktiviti rekreasi di kawasan itu terutama yang membabitkan persekitaran sungai dan bukit perlu dimaklumkan terlebih dahulu kepada komuniti setempat.

Johari berkata ini kerana penduduk tempatan lebih mahir mengenai selok belok di kawasan persekitaran seterusnya dapat mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Sepatutnya penganjur perlu bekerjasama dengan penduduk kampung kerana kami lebih arif dengan jalan dan laluan di sini,  kalau tidak nanti jadilah kes seperti hilang atau sesat.

“Aktiviti riadah seperti ini sering dianjurkan di sini, namun apabila ada kes orang hilang atau sesat selalunya mangsa akan ditemui pada hari yang sama, tak pernah lagi hilang berhari-hari seperti kes ini,” katanya.

Mohammad Ashraf, dari Muar, Johor bersama 485 peserta lelaki dan perempuan yang lain memulakan larian dari Gua Tempurung bagi kategori 25 kilometer pagi Sabtu dan sepatutnya berakhir pada hari yang sama di lokasi sama.

Kehilangan mangsa disedari kawannya, Mohd Farid Md Kamal, 32, apabila mendapati Mohammad Ashraf masih tidak sampai selepas selesai perlumbaan sebelum membuat laporan polis kira-kira pukul 1.09 pagi, Ahad lepas.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.