Siakap Keli
Polis Kedah

Polis Sedia Tembak Jatuh Sekiranya Ada Dron Diterbangkan Semasa LIMA 2019

Malaysia sekali lagi menganjurkan acara dwi-tahunan, Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2019 yang berlangsung secara rasmi 26 hingga 30 Mac ini.

LIMA 2019 yang berlangsung ketika cuti sekolah menyaksikan ia menjadi tumpuan orang ramai termasuklah jurugambar-jurugambar dan penggemar fotografi untuk berkampung di pulau tersebut.

Deruman enjin pelbagai jenis pesawat serta aksi-aksi menarik daripada pasukan keselamatan negara menggamatkan lagi suasana dan menjadi tarikan lensa.

Bagaimanapun, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan orang ramai bahawa pihaknya sentiasa memantau rapi larangan penggunaan dron dan bersedia untuk menembak jatuh alat tersebut.

Menurut perkongsian di laman facebook Polis Kedah, anggota Unit Dron ‘Drone Detector & Drone Jammer’ Pasukan Gerakan Udara (PGU) Bukit Aman diketuai DSP Rasha Azaldin digerakkan ke lokasi pameran untuk tujuan berkenaan.

DSP Rasha Azaldin turut dibantu oleh ASP Wee Beng Chuat serta Sarjan Muhammad Adreen bersama-sama kelengkapan khas untuk menguatkuasakan perintah larangan berkenaan.

”Mereka bertanggungjawab untuk bertindak jika mengesan penggunaan dron di kawasan berkenaan. Senjata itu berupaya menembak dron jarak maksimum efektif sejauh dua kilometer,” kata kenyataan itu.

Berdasarkan Peraturan Am yang dimuat naik oleh pihak penganjur Ahad lepas, para pengunjung dilarang daripada menerbangkan dron atau pesawat tanpa pemadu (UAV) ketika berada di lokasi pameran.

Sumber: Polis Kedah

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.