Siakap Keli

Petugas Telekomunikasi Digantung Tugas Gara-Gara Guna Kenderaan Syarikat Selamatkan Kucing

Seorang pekerja syarikat telekomunikasi dilapor telah digantung tugas selama tiga minggu disebabkan mengambil keputusan sendiri menyelamatkan kucing yang terperangkap menggunakan kelengkapan syarikat ketika menjalankan tugas.

Maurice German ketika itu sedang bekerja di kawasan kejiranan di Philadelphia awal bulan lepas sebelum didatangi seorang penduduk yang memintanya menyelamatkan seekor kucing terperangkap di atas sebatang tiang kabel telefon.

Kucing bernama Momma dipercayai sudah terperangkap selama 12 jam sebelum German menghulurkan bantuan. Menurut laporan akhbar tempatan, pemilik tersebut sudahpun berusaha menghubungi bomba, bahagian penyelamat haiwan dan syarikat penyelenggara tiang kabel telefon namun tidak mendapat sebarang respon.

German yang merasa kasihan dengan kucing tersebut bersetuju untuk cuba menyelamatkan kucing berkenaan dan berjaya melakukan tugas tersebut dengan menggunakan kenderaan milik syarikatnya.

Malah, video aksi penyelamatan kucing tersebut turut diambil oleh penduduk tempatan dan ditularkan di media sosial.

Bagaiamanapun, ketika orang ramai meraikan aksi menyelamatkan itu, majikan German pula tidak menyenangi perbuatan tersebut lalu menggantung tugasnya selama tiga minggu tanpa gaji kerana menggunakan harta syarikat ketika diluar tugas melanggar prosedur keselamatan yang ditetapkan.

Menurut kenyataan syarikat, tindakan yang diambil oleh German boleh meletakkan dirinya serta orang ramai dalam bahaya. Malah, semua kakitangan lapangannya dihantar menyertai latihan secara kerap supaya menitikberatkan soal keselamatan ketika bertugas.

Selain itu katanya, kelengkapan jentera yang digunakannya juga bukanlah kelengkapan yang sesuai untuk tugas menyelamat. Justeru kata wakil syarikat, biarpun tindakan mereka menggantung German tidak popular, namun keputusan tegas harus dikenakan.

Respon kepada keputusan syarikat tersebut, orang ramai telah melancarkan tabung kutipan derma atas talian dan berjaya mengumpul melebihi USD 7,000 (RM 28,602).

Sumber: People

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.