Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kerajaan Johor menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) memberi perhatian segera terhadap isu kekurangan petugas kesihatan di beberapa hospital utama negeri itu yang disifatkan semakin membimbangkan.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata lebih 2,000 kekosongan jawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Pasir Gudang (HPG) memberi tekanan besar kepada petugas sedia ada sehingga ada yang memilih untuk meletakkan jawatan akibat beban tugas yang terlalu tinggi.
Menurut beliau, keadaan di HSA antara yang paling merisaukan memandangkan hospital berkenaan merupakan pusat rujukan utama yang menerima ribuan pesakit dari seluruh Johor setiap hari.
"Perkara yang benar-benar merisaukan saya ialah kekurangan petugas kesihatan di HSA.
"Saya bimbang beban yang mereka pikul hari ini sudah terlalu berat, sedangkan HSA merupakan antara hospital rujukan utama yang menerima ribuan pesakit dari seluruh Johor setiap hari.
"Justeru, saya dengan penuh rendah hati memohon pertimbangan dan perhatian segera daripada KKM supaya isu kekurangan petugas di HSA diberikan keutamaan," katanya menerusi satu hantaran video, hari ini.
Terdahulu, Onn Hafiz mengadakan lawatan ke HSA bagi meninjau sendiri keadaan semasa hospital berkenaan selain mendengar taklimat mengenai pelbagai usaha penambahbaikan yang sedang dilaksanakan untuk memastikan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat Johor terus berjalan lancar.
Beliau berkata, antara langkah yang sedang diambil ialah proses decanting Jabatan Kecemasan dan Trauma (JKT) ke Pusat Bersalin dan Labor & Delivery (L&D) yang dijadual bermula awal Ogos ini.
Menurutnya, langkah itu bertujuan membolehkan kerja-kerja menaik taraf sistem bekalan elektrik dilaksanakan dengan lebih selamat.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan projek menaik taraf bekalan utama elektrik serta sistem elektrikal dan mekanikal di HSA bernilai hampir RM159 juta turut giat dilaksanakan.
Katanya, projek berkenaan bersama beberapa penambahbaikan lain diharap dapat memastikan HSA terus menyediakan perkhidmatan kesihatan yang lebih selamat, cekap dan berkualiti kepada rakyat Johor.
"Pada masa yang sama, projek menaik taraf bekalan utama elektrik, sistem elektrikal dan mekanikal hospital bernilai hampir RM159 juta serta beberapa penambahbaikan lain turut giat dilaksanakan demi memastikan HSA terus memberikan perkhidmatan yang lebih selamat dan berkualiti kepada Bangsa Johor," ujarnya.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan